IHH, KPJ penerima manfaat terbesar jika skim insurans penjagaan kesihatan nasional diperkenalkan - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

IHH, KPJ penerima manfaat terbesar jika skim insurans penjagaan kesihatan nasional diperkenalkan - Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Sept - Kenanga Research menjangkakan IHH Healthcare Berhad dan KPJ Healthcare Berhad menjadi penerima manfaat terbesar sekiranya skim insurans penjagaan kesihatan nasional diperkenalkan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, operasi mereka di Malaysia akan mencapai penggunaan penuh sekiranya skim itu diperkenalkan dan Kenanga Research menyemak naik unjuran pendapatan bagi FY24 IHH dinaikkan sebanyak 12% manakala KPJ sebanyak 25%. 

 

Pada masa sama, harga sasaran (TP) IHH dinaikkan sebanyak 7% kpada RM7.50 sesaham manakala 25% atau RM1.90 sesaham untuk KPJ berdasarkan kepada asas penilaian yang sama.

 

"Kami mengakui bahawa langkah menambahbaik sistem penjagaan kesihatan bersakala ini mengambil masa yang panjang untuk diselesaikan.

 

"Berdasarkan kepada pasaran, penarafan semula harga saham akan berlaku sebaik sahaja kerajaan menunjukkan komitmen teguh ke arah mencapai sasaran yang ditetapkan dalam sektor itu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Kenanga Research berkata, selain daripada menjadi penerima manfaat dalam sektor kesihatan domestik, mereka menyukai IHH dan KPJ kerana kuasa penetapan harga mereka, populasi yang semakin tua dan kemewahan yang semakin meningkat.

 

“Kami juga menyukai IHH dan KPJ untuk kedudukan pasaran mereka: IHH dengan kehadiran di Malaysia, Singapura, Turkiye dan China, manakala KPJ mempunyai rangkaian terbesar 28 hospital swasta di Malaysia (berbanding 16 untuk IHH),” katanya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, antara cabaran yang dihadapi dalam sektor penjagaan kesihatan ketika ini termasuk keperluan mendesak untuk menangani pembiayaan penjagaan kesihatan negara bagi memastikan akses yang saksama kepada penjagaan kesihatan untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira pendapatan.

 

Selain itu, sistem pembayar hibrid adalah jalan ke hadapan dalam sistem penjagaan kesihatan Malaysia dan pendigitalan dalam penjagaan kesihatan.

 

"Kami mengekalkan penarafan 'overweight bagi sektor itu," katanya. - DagangNews.com