ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 8 Okt. - Tinjauan yang dijalankan Suruhanjaya Sekuriti (SC) mendapati jumlah imbuhan lembaga pengarah dan pengarah eksekutif bagi 2019 masing-masing menurun 11.7% dan 14.5% berbanding tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, jumlah imbuhan yang diterima pengarah bukan eksekutif meningkat sebanyak 6.2% pada 2019, menurut laporan Pemantauan Tadbir Urus Korporat (CG Monitor) 2020 yang dikeluarkan SC hari ini.
CG Monitor 2020 menampilkan pemerhatian terhadap tiga semakan tematik mengenai penerimaan resolusi dua peringkat, imbuhan lembaga pengarah syarikat tersenarai di Indeks FTSE Bursa Malaysia Top 100 (FBM 100) dan pengendalian mesyuarat agung secara maya sepenuhnya oleh syarikat tersenarai sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Selain itu, didapati lebih banyak syarikat tersenarai mengguna pakai amalan terbaik seperti yang digariskan dalam Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG) pada 2019, berbanding pada tahun sebelumnya.
Laporan itu menunjukkan peningkatan dalam pemakaian tersebut adalah amalan Yang Dipertingkatkan (Step Up), proses pengundian dua peringkat dan amalan lembaga pengarah untuk menentukan imbuhan pengarah dan pengurusan kanan.
Menurut SC, walaupun pemakaian proses pengundian dua peringkat untuk mengekalkan pengarah bebas yang sudah lama berkhidmat telah meningkat, masih ada sebilangan besar pengarah bebas yang telah berkhidmat antara 20 hingga 40 tahun.
"SC mendapati penglibatan pemegang saham bukan besar dalam pengundian Tahap 2 masih rendah. Secara purata, hanya 40% pemegang saham bukan besar membuat pengundian mereka.
"Walaupun proses pengundian dua peringkat tidak wajib, SC amat menggalakkan para pemegang saham untuk mengguna pakai amalan ini untuk mengukuhkan pelantikan semula pengarah bebas yang telah berkhidmat lama.
"Begitu juga pemegang saham bukan besar hendaklah bangkit dan melaksanakan hak mereka dalam menentukan lanjutan tempoh perkhidmatan pengarah-pengarah ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut laporan itu, setakat 31 Ogos lalu, kepelbagaian gender dalam lembaga pengarah syarikat tersenarai
menunjukkan sedikit peningkatan sebanyak 24.82% berbanding 23.68% pada 2018 melibatkan 100 syarikat tersenarai teratas.
Bagi semua syarikat tersenarai pula, ia meningkat 16.96% berbanding 15.69% pada 2018.
"Ketika ini, terdapat lima syarikat dengan semua lembaga pengarahnya adalah lelaki dalam 100 syarikat tersenarai teratas iaitu Comfort Glove Bhd., Focus Dynamics Group Bhd., Frontken Corporation Bhd., Guan Chong Bhd. dan Pentamaster Corporation Bhd.," katanya. - DagangNews.com