Impak Naratif Ekonomi Madani terhadap kedudukan fiskal kerajaan hanya boleh diukur selepas semua inisiatif didedahkan sepenuhnya - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Impak Naratif Ekonomi Madani terhadap kedudukan fiskal kerajaan hanya boleh diukur selepas semua inisiatif didedahkan sepenuhnya - MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Julai - Impak Naratif Ekonomi Madani terhadap kedudukan fiskal kerajaan hanya boleh diukur selepas semua inisiatif didedahkan sepenuhnya oleh setiap kementerian.

 

MIDF Research berkata, Naratif Ekonomi Madani mengulangi tentang meningkatkan daya saing global Malaysia, menggalakkan pertumbuhan hijau, penggunaan tekonologi digital yang lebih baik dan dorongan berterusan untuk meningkatkan keselamatan makanan negara.

 

Dalam erti kata lain, ini adalah kesinambungan agenda pembangunan seperti yang digariskan dalam rancangan pembangunan sebelum ini, terutamanya Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

 

"Bagaimanapun, kami percaya penambahbaikan dalam ruang fiskal tahun ini berikutan pertumbuhan ekonomi yang mampan akan membolehkan kerajaan membiayai inisiatif yang telah diumumkan dalam Naratif Ekonomi Madani seperti elaun untuk kakitangan awam dan kredit e-tunai.

 

"Kami berpendapat dokumen itu menetapkan matlamat dan sasaran yang jelas untuk negara, dan jika ia dilakukan dengan betul, potensi pertumbuhan Malaysia mungkin lebih tinggi daripada purata pertumbuhan 4.7% sejak 1998.

 

madani
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Pelancaran Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat. 

 

"Kami menjangkakan pengumuman rancangan pembangunan lain, termasuk semakan pertengahan penggal RMK-12, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, dan Bajet 2024 akan datang akan menggabungkan aspirasi dan sasaran yang sama seperti yang digariskan dalam pelan hala tuju Ekonomi Madani," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, kerjaan menunjukkan komitmen berterusan untuk memperbaiki kedudukan fiskal negara serta kepentingan meningkatkan perkhidmatan awam.

 

Katanya, selain daripada mengulangi komitmen untuk mengurangkan defisit fiskal kepada 3% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau lebih rendah dari semasa ke semasa, Ekonomi Madani akan melihat kepada penambahbaikan pengurusan subsidi termasuk pengenalan skim subsidi bersasar.

 

madani

 

Daripada kemampanan fiskal, rasionalisasi subsidi akan meringankan beban fiskal dan yang paling penting memastikan semua subsidi ditujukan kepada mereka yang memerlukan.

 

"Walaupun kerajaan akan melaksanakan pembaharuan fiskal yang akan melihat kepada keseluruhan pengurusan perbelanjaan fiskal, sumber hasil fiskal dan menangani isu-isu yang menyelubungi pengurusan hutang awam, kerajaan dengan jelas menekankan bahawa keutamaan akan diberikan ke arah menyediakan sokongan dan bantuan yang diperlukan kepada rakyat. yang menghadapi cabaran daripada kenaikan kos sara hidup," katanya. - DagangNews.com