Impak PKP 2.0 ke atas 18 sektor - MIDF | DagangNews Skip to main content

Impak PKP 2.0 ke atas 18 sektor - MIDF

PKP 2.0

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 12 Jan. - Keputusan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali kedua pastinya memberi kesan kepada sektor ekonomi negara.

 

MIDF Research berkata, memandangkan PKP yang dijalankan kali ini sedikit berbeza dengan sebelumnya, sesetengah sektor dilihat berdepan dengan kesan yang terhad.

 

Bagaimanapun, beberapa sektor juga dilihat akan lebih terjejas berbanding sektor-sektor lain.

 

 

Berikut adalah analisis penuh mengikut sektor;

 

1) Automotif

  • PKP 2.0 mungkin memberi impak negatif terhadap jualan kereta dalam tempoh tersebut.
  • Bagaimanapun, kesan tersebut dilihat tidak akan berlaku seburuk PKP kali pertama memandangkan beberapa sektor ekonomi dibenar beroperasi.
  • Lanjutan pengecualian cukai jualan hingga Jun 2021 mampu mengatasi kesan PKP 2.0.
  • Berdasarkan perkara tersebut dan jangkaan implikasi makro yang minimum, MIDF Research mengekalkan anggaran jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi tahun kewangan 2021 sebanyak 550,000, dengan peningkatan 5% berbanding tahun sebelumnya.
  • Saranan 'positif' saham sektor automotif, MIDF Research menjadikan BAuto dan MBM Resources sebagai pilihan utama, masing-masing dengan saranan 'beli' bersama harga sasaran sesaham (TP) bernilai RM1.70 dan RM3.90.

 


2) Penerbangan

  • PKP 2.0 pastinya memberi tekanan kepada sektor penerbangan setelah melalui fasa 2020 yang mengerikan.
  • Dengan langkah kawalan sempadan yang menghentikan perdagangan penumpang antarabangsa, PKP juga akan menghalang pemulihan penumpang di peringkat domestik.
  • Namun, harapan pemulihan dalam kalangan pemain industri penerbangan tetap berterusan susulan perkembangan positif penerimaan vaksin.
  • Keselamatan adalah kunci utama bagi pemulihan berterusan sektor penerbangan.
  • Kebimbangan keselamatan mengakibatkan perjalanan udara berada di tahap rendah dan tidak pada tahap yang mencukupi untuk menyelamatkan industri penerbangan daripada kerugian.
  • Risiko PKP yang berpanjangan hingga suku pertama 2021 bakal memudaratkan pemulihan prestasi kewangan industri penerbangan.

 


3) Perbankan

  • Kesan PKP terhadap sektor perbankan secara tidak langsung hadir daripada kesan ekonomi negara.
  • Perkara yang dibimbangkan adalah berkaitan kualiti aset bank daripada sektor yang paling terjejas seperti hartanah.
  • MIDF Research berkata, pihaknya berpendapat kualiti aset bank sudah berada dalam tekanan sejak berakhirnya moratorium pinjaman.
  • Bagaimanapun, pihaknya percaya bahawa bank mempunyai penyangga kerugian pinjaman yang mencukupi.
  • Dengan penyangga yang mencukupi, program bantuan yang disasarkan bersama fakta bahawa beberapa sektor ekonomi dapat beroperasi, MIDF Research terus memberi keyakinan terhadap sektor perbankan.
  • MIDF Research percaya bahawa sektor perbankan akan menjadi salah satu penerima manfaat pemulihan ekonomi

 

 

4) Pembinaan

  • PKP dijangka memberi kesan minimum kepada syarikat pembinaan kerana industri pembinaan berada dalam salah satu daripada lima sektor penting.
  • Berdasarkan pemeriksaan, syarikat pembinaan yang berada di bawah seliaan MIDF Research beroperasi di semua negeri yang dikenakan kawalan pergerakan.
  • Kapasiti tenaga kerja rata-rata kekal dalam lingkungan 80%-90% sejajar dengan prosedur operasi standard (SOP) COVID-18 semasa.
  • Risiko utama sektor pembinaan terjadi sekiranya terdapat pekerja yang dijangkiti COVID-19 sekali gus melewatkan proses pembinaan.

 

 


5) Pengguna

  • MIDF Research menjangkakan kesan yang sangat minimum kepada stok pengguna kerana majoriti masyarakat dilihat berada dalam keadaan kurang panik.
  • Kebanyakan pengguna yakin bahawa bekalan dan stok tidak akan terganggu.
  • Sebaliknya, MIDF Research menjangkakan segmen hotel, restoren dan cafe (Horeca) akan mengalami kesan negatif.
  • "Kami percaya bahawa syarikat seperti Nestlé (Malaysia) Bhd. dan Fraser & Neave Holdings Bhd. berada dalam keadaan yang lebih bersedia kerana kedua-dua syarikat tersebut telah mula terlibat dengan perniagaan dalam talian.
  • "Kami berpendapat bahawa PKP mungkin memberi kesan yang sedikit negatif kepada Padini Holdings Bhd. kerana kategori aksesori fesyen adalah salah satu sub-segmen yang paling berpengaruh sebelum pelaksanaan PKP," jelas MIDF Research.
  • MIDF Research mengharapkan kesan yang minimun untuk sektor pengguna kerana pengguna dilihat lebih bersedia untuk PKP kali ini.

 

 


6) Sarung tangan

  • MIDF Research tidak menjangkakan PKP akan memberi kesan kepada sektor sarung tangan kerana ia berada di bawah sektor pembuatan barangan keperluan.
  • Sentimen pada sektor berkenaan banyak dipengaruhi oleh laporan berita berkaitan vaksinasi secara besar-besaran.
  • Permintaan semasa yang terus meningkat dilihat dapat memberi manfaat kepada pengeluar sarung tangan.

 

 


7) Penjagaan kesihatan

  • Penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta dan farmasi dilihat bakal terkesan susulan pelaksanaan semula PKP di enam negeri.
  • Hal ini akan mengelakkan pesakit dalam dan pesakit luar datang mendapatkan rawatan dan menjalani pembedahan.
  • "Kami menjangkakan beberapa pembedahan yang tidak mengancam nyawa ditangguh dan secara tidak langsung menarik pendapatan bagi penyedia perkhidmatan kesihatan swasta.
  • Kos pentadbiran juga tetap akan ditanggung meskipun bilangan pesakit berkurang.
  • Bagi pengeluar farmasi, MIDF Research menjangkakan penurunan jumlah pesanan dan pendapatan jualan dalam dua minggu ke hadapan.
  • Meskipun diklasifikasikan sebagai perkhidmatan penting, cabang penjualan dan pemasaran pengeluar itu dijangka akan terkesan akibat PKP kerana akses yang berkurangan kepada penyedia kesihatan swasta dan doktor susulan sekatan pergerakan.
  • PKP yang dijalankan semula itu dijangka memberi kesan dua kali ganda kepada pengeluar farmasi tempatan sekiranya tempoh tersebut terus berlanjutan.

 

 

 

8) Perindustrian

  • Tiada kesan operasi dalam sektor perindustrian yang dibenarkan terus beroperasi.
  • Ketahanan rantaian bekalan yang terganggu berpotensi memberi kesan dan mempengaruhi sektor berkenaan.

 

 

9) Logistik

  • MIDF Research berpendapat bahawa pengguna Malaysia mula beralih kepada pembelian secara dalam talian sebagai sebahagian daripada norma pembelian baharu.
  • Oleh itu, industri logistik dilihat berada dalam landasan untuk pegembangan.
  • "Kami melihat trend membeli-belah dalam talian akan terus berkembang dan berpotensi untuk menyaingi skala peruncit tradisional di Malaysia," tambah MIDF Research.

 

 

10) Media

  • Kesan PKP kepada industri media dijangka tipis dengan anggapan bahawa PKP tidak akan berpanjangan melebihi waktu yang ditentukan.
  • Bagaimanapun, industri tersebut berkemungkinan akan mengalami penurunan pendapatan iklan (adex) sekiranya perniagaan mengambil langkah pemotongan kos pengiklanan.
  • Langkah itu mungkin dilakukan syarikat atau perniagaan untuk mengekalkan aliran tunai.

 

 


11) Oil & Gas

  • Secara umumnya, sektor ini dijangka akan mengalami kesan yang minimum kerana sebahagian besar sektor tersebut akan terus beroperasi sepanjang tempoh PKP.
  • Bagaimanapun, penyedia perkhidmatan minyak dan gas yang terletak di negeri yang dikenakan PKP seperti Malaysia Marine & Heavy Engineering mungkin terjejas sekiranya kilang tersebut terpaksa ditutup .
  • Selain itu, pengendali stesen minyak runcit dan penyedia gas seperti Petronas Dagangan Bhd. dan Gas Malaysia Bhd. dijangka akan mengalami kesan buruk kerana pelaksaan PKP di enam negeri akan mengakibatkan jumlah jualan yang lebih rendah.

 

 


12) Perladangan

 

  • Sektor perladangan dikategorikan sebagai sektor ekonomi penting dan dibenarkan beroperasi.
  • Oleh itu, MIDF Research berpendapat bahawa PKP di enam negeri tidak memberi kesan yang dominan kepada sektor perlagangan.
  • Sektor kelapa sawit dilihat pantas menyesuaikan diri dengan norma kerja baharu.
  • Hal ini kerana penutupan sempadan menyebabkan penawaran tanaga kerja buruh asing yang ketat.
  • Bagaimanapun, kekurangan tenaga kerja akan menyebabkan kelewatan aktiviti penuaian yang akan mempengaruhi kualiti tandan buah.

 

 

13) Hartanah

  • MIDF Research menjangkakan kesan negatif pelaksanaan PKP terhadap sektor hartanah.
  • Pembinaan projek hartanah bagaimanapun dilihat tidak akan terpengaruh kerana kerja pembinaan dibenar beroperasi.
  • Namun begitu, MIDF Research menjangkakan penjualan hartanah baharu akan terjejas dalam tempoh PKP.
  • Hal itu kerana pembeli hartanah berkemungkinan akan menangguhkan pembelian akibat sekatan perjalanan.
  • "Ringkasnya, kami berpendapat bahawa pendapatan pemaju hartanah dalam tempoh jangka masa pendek akan terpengaruh akibat PKP.
  • "Terutamannya disebabkan oleh penjualan yang mungkin lebih rendah daripada yang dijangkakan," jelas MIDF Research.

 

 


14) REIT

  • MIDF Research menjangkakan kesan negatif terhadap sektor REIT.
  • Pelaksaan semula PKP dilihat memberi kesan kepada REIT runcit kerana sebahagian besar aset runcit yang dimilki oleh REIT terletak di Selangor dan Kuala Lumpur.
  • Pendapatan REIT runcit seperti GB REIT, CMMT, Sunway REIT dan Pavilion REIT dijangka mengalami kesan buruk akibat PKP kerana sebilangan besar penyewa tidak dibenarkan beroperasi sepanjang PKP.
  • Meskipun begitu, MIDF Research berpendapat bahawa pendapatan REIT perindustrian iaitu Axis REIT tidak dipengaruhi oleh PKP kerana penyewa masih tetap meneruskan operasi semasa PKP.

 

 

15) Pelaburan & Penghantaran

  • Sektor ini akan terus menikmati pemulihan berbanding prestasi 2020 kerana tersenarai dalam sektor ekonomi penting.
  • MIDF Research tidak meramalkan sebarang gangguan perdagangan yang sama seperti tahun lalu kerana negara-negara di seluruh dunia telah membuka semula pelaburan strategik di samping meneruskan aktiviti perdagangan dengan baik.

 

 


16) Teknologi

  • Pelaksanaan PKP tidak akan memberi kesan buruk kepada syarikat semikonduktor kerana syarikat-syarikat berkenaan berada di bawah lima sektor ekonomi penting iaitu pembuatan.
  • Namun, sekiranya terdapat pekerja yang dijangkiti virus COVID-19, sektor tersebut berkemungkinan akan dihentikan sementara.


 

 

17) Telekomunikasi

  • Pelaksanaan PKP dijangka memberi kesan minimum kepada industri telekomunikasi negara.
  • Aktiviti pemerolehan pelanggan dan aktiviti penambahan kredit pelanggan mungkin mengalami penyusutan dalam proses secara fizikal.
  • Namun, MIDF Research menjangkakan kesannya berkurangan kerana syarikat telekomunikasi mula melibatkan diri ke saluran dalam talian selepas PKP sebelum ini.
  • Dalam perkembangan lain, pelancaran infrastruktur telekomunikasi juga dijangka mengalami sedikit kelewatan.

 

 

18) Tenaga

  • PKP 2.0 berkemungkinan akan memberi kesan negatif terhadap permintaan elektrik dalam tempoh dua minggu pelaksanaannya.
  • Bagaimanapun, kesan tersebut berkemungkinan lebih kecil berbanding PKP kali pertama kerana kumpulan sektor ekonomi yang lebih besar dibenarkan untuk terus beroperasi khususnya sektor pembuatan dan pengeluaran. - DagangNews.com