Oleh Prof. Dr. Abdol Samad Nawi
RANCANGAN Malaysia Ke-12 yang dilancarkan pada 27 September lalu, mula berdepan dengan pelbagai kritikan apabila dikatakan tidak memberi penekanan kepada pelan pemulihan negara daripada impak pandemik COVID-19.
Masyarakat sedia maklum, hampir dua tahun negara dan dunia berdepan dengan krisis kesihatan global di mana negara kerugian berbilion ringgit apabila sektor ekonomi terpaksa ditutup.
Contohnya, sektor pelancongan dilaporkan kerugian lebih RM45 bilion, manakala sektor pembinaan mengalami kerugian RM42 bilion kesan daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak.
Malaysia juga merekodkan kadar pengangguran yang lebih tinggi melebihi 700,000 orang dan inflasi juga dilaporkan meningkat ke paras 4.4%.
Kadar kemiskinan semakin meningkat termasuk miskin bandar. Kos sara hidup bagi isi rumah golongan B40 serta kumpulan mudah terjejas juga turut meningkat.
Ditambah lagi dengan masalah keciciran dalam kalangan anak-anak Malaysia yang berdepan masalah capaian internet sepanjang tempoh PdPR.
Keadaan ekonomi ini juga telah menyebabkan Bank Negara (BNM) terpaksa menyemak semula unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2021 dari 6 hingga 7.5% kepada antara 3 hingga 4%. Unjuran ini sebenarnya di bawah sasaran RMK-12 antara 4.5% hingga 5.5% setahun.
RMK-12 memberi fokus kepada rakyat terutamanya masyarakat Bumiputera dengan meletakkan harapan yang tinggi kepada rancangan lima tahun ini dengan jumlah peruntukan sebanyak RM400 bilion bagi mempertingkatkan ekuiti korporat dalam memperkasakan agenda Bumiputera.
Pemilikan ekuiti sektor korporat Bumiputera berasaskan nilai pasaran bagi tahun 2019 hanya mencapai 17.2% sedangkan sasaran sejak dari Dasar Ekonomi Baharu (DEB) 1970-1990 ialah 30%. Sehingga kini, usaha meningkatkan ekuiti sektor korporat Bumiputera masih gagal di capai walaupun usaha ini telah bermula sejak 1970.
Tambahan pula, RMK-12 turut bermatlamat menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi serta kalis cabaran pada tahun 2025 dengan pendapatan purata rakyat RM10,000 sebulan, negara berteknologi tinggi dengan guna tenaga berkemahiran tinggi serta mencapai pertumbuhan terangkum.
Ini merupakan cabaran terbesar kelompok masyarakat Bumiputera dalam mendepani perubahan mobiliti ekonomi yang di pacu oleh Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).
Keterlibatan aktif golongan Bumiputera dalam semua peluang yang disediakan oleh pihak kerajaan bagi melengkapkan diri mereka melalui program yang boleh membawa masyarakat ini ke arah pembinaan guna tenaga berkemahiran tinggi, seiring dengan perubahan guna tenaga dalam sektor ekonomi yang dipacu secara digital dan ekonomi kreatif.
Melihat dan membiarkan sahaja usaha ini berlalu pergi merupakan bencana terbesar bagi masyarakat Bumiputera.
Kita harus bangkit dan sedar bahawa kini bukan lagi zaman berpeluk tubuh dan tunggu disuap.
Kebergantungan masyarakat Bumiputera ke atas kuasa politik juga perlu dikurangkan ke tahap paling minimum bagi memastikan kelestarian pembangunan dan ekonomi masyarakat mampu berdaya saing di pasaran terbuka. – DagangNews.com
Prof. Dr. Abdol Samad Nawi adalah Penolong Naib Canselor (Keusahawanan) Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED) Universiti Teknologi MARA Shah Alam