Import, eksport Malaysia kembali catat pertumbuhan 2 digit | DagangNews Skip to main content

Import, eksport Malaysia kembali catat pertumbuhan 2 digit

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 29 Mac - Malaysia kembali mencatatkan pertumbuhan positif dua digit bagi import dan eksport selepas 12 bulan, menurut laporan Perangkaan Perdagangan Luar Negeri, Februari 2021 yang dikeluarkan hari ini.

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, eksport Malaysia kekal pada paras yang tinggi, merekodkan peningkatan ketara 17.6% kepada RM87.6 bilion, berbanding kenaikan 6.6% pada Januari 2021.

 

Jelasnya, ini adalah pertumbuhan tahun ke tahun tertinggi dalam tempoh 28 bulan.

 

Mohd Uzir Mahidin
Mohd Uzir Mahidin

 

“Peningkatan ini didorong oleh eksport domestik dan eksport semula. Eksport domestik berjumlah RM71.4 bilion menyumbang 81.6% kepada jumlah eksport, meningkat 10.4%. Sementara, eksport semula bernilai RM16.1 bilion, meningkat 65.0% tahun ke tahun.

 

“Import Malaysia pada Februari 2021 berjumlah RM69.7 bilion, mencatat pertumbuhan kukuh dua digit 12.7% berbanding bulan yang sama 2020. Ini adalah pertumbuhan tahun ke tahun yang tertinggi sejak Julai 2018.

 

“Lebihan dagangan berjumlah RM17.9 bilion, menjadikan ia lebihan dagangan bagi bulan ke-10 berturut-turut sejak Mei 2020. Jumlah dagangan yang bernilai RM157.3 bilion meningkat 15.4% tahun ke tahun,” katanya dalam sebuah kenyataan berhubung laporan itu.

 

Laporan berkenaan dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Dalam pada itu, DOSM turut melaporkan bahawa peningkatan dalam eksport didorong oleh eksport yang lebih tinggi ke China (+RM3.4 bilion), Amerika Syarikat (+RM2.1 bilion), Singapura (+RM1.5 bilion), Hong Kong (+RM1.3 bilion) dan Kesatuan Eropah (+RM1.0 bilion).

 

DOSM

 

Sementara itu, kenaikan import terutamanya dari China (+RM6 2 bilion), Indonesia (+RM1.1 bilion) dan Thailand (+RM819.3 juta).

 

Produk utama yang menyumbang kepada peningkatan eksport adalah barangan elektrik dan elektronik (+RM6.4 bilion); keluaran getah (+RM4.4 bilion); keluaran petroleum (+RM1.6 bilion); kimia dan bahan kima (+RM873.8 juta) dan barangan perkilangan logam (+RM799.1 juta).

 

Selain itu, kenaikan import dicatatkan bagi barangan elektrik dan elektronik (+RM2.6 bilion); jentera, kelengkapan dan peralatan (+RM922.7 juta); kimia dan bahan kimia (+RM856.2 juta) dan keluaran getah (+RM846.3 juta).

 

Tambah DOSM, import mengikut penggunaan akhir mencatat peningkatan bagi barangan modal dan penggunaan.

 

Import bagi barangan modal meningkat 39.0% atau RM2.1 bilion kepada RM7.6 bilion dan merangkumi 10.9% daripada jumlah import.

 

Pada masa yang sama, barangan penggunaan, iaitu 8.5% daripada jumlah import, mencatatkan kenaikan 17.6% daripada RM5.0 bilion pada Februari 2020 kepada RM5.9 bilion.

 

Sebaliknya, import bagi barangan perantaraan yang bernilai RM38.3 bilion atau 55.0% daripada jumlah import, menurun sedikit 0.2% tahun ke tahun, kata DOSM lagi. – DagangNews.com