Inari Amertron berpeluang raih untung daripada perang telefon pintar AS-Korea | DagangNews Skip to main content

Inari Amertron berpeluang raih untung daripada perang telefon pintar AS-Korea

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 26 Julai - Berikutan pengeluaran telefon pintar Amerika Syarikat (AS) dijangka meraih penguasaan pasaran lebih besar daripada pesaing Korea Selatan, situasi ini tidak dinafikan membuka pintu keuntungan yang lebih tinggi buat syarikat pembuatan elektronik, Inari Amertron Berhad. 

 

Menurut penganalisis di Kenanga Research, Samuel Tan, pengeluar telefon pintar AS telah meningkatkan jumlah pengeluarannya sebanyak 20% berikutan permintaan bagi model baharu dijangka lebih tinggi yang bakal menawarkan kadar paparan baharu lebih baik.

 

Inovasi tersebut secara strateginya dijangka menyumbang penguasaan pasaran lebih besar buat pemain industri AS, memandangkan pesaing dari Korea Selatan melewatkan pelancaran peranti utamanya sendiri pada Ogos ini untuk siri telefon lipat.

 

“Menyedari persekitaran kekurangan cip semasa, Inari telah memulakan program telefon pintar AS satu hingga dua bulan lebih awal daripada jadual biasa untuk memenuhi garis masa acara pelancaran tahunan pelanggan utamanya pada bulan September.

 

“Di samping itu, syarikat telefon pintar AS dilaporkan telah memberitahu pembekal untuk meningkatkan jumlah pengeluaran sebanyak 20%, menunjukkan keyakinan yang kuat terhadap kebolehpasaran peranti utama 2021 yang akan datang.

 

“Inari mempunyai kehadiran yang kukuh dalam segmen frekuensi radionya (RF) iaitu kira-kira 70% daripada hasil kumpulan dan akan terus menyaksikan permintaan kukuh memandangkan penggunaan 5G dalam kalangan pengguna telah bermula,” jelas Tan dalam satu nota kajian. 

 

Beliau dalam masa sama mendedahkan bahawa kumpulan telah bersedia untuk pengembangan pusat data bagi fasa pertumbuhan seterusnya dengan meningkatkan pendedahan ke dalam penghantar-terima optikal, memori dan modul kuasa. 

 

Kenanga meningkatkan unjuran keuntungan bersih tahun kewangan 2021 (FY21) dan FY22, masing-masing sebanyak 7% dan 16% kepada RM301.5 juta dan RM375.3 juta setelah mengambil kira jumlah pengeluaran lebih tinggi. 

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan penarafan ‘outperform’ ke atas saham Inari dengan harga sasaran (TP) ditingkatkan kepada RM4.60.

 

“Daripada semakan saluran kami, kami mendapati bahawa telefon pintar AS pada masa akan datang berpotensi menampilkan kadar paparan baharu tinggi sehingga 120 Hz dengan fungsi yang selalu aktif, di mana kami percaya akan menjadi ciri baharu utama ditawarkan tahun ini,” tambah Tan. - DagangNews.com