KUALA LUMPUR 13 Sept - Inari Amertron Bhd. kekal pilihan utama Maybank Investment Bank (IB) bagi sektor perkhidmatan pemasangan dan ujian semikonduktor (OSAT).
Ini mendorongnya mengekalkan saranan 'beli' pada harga sasaran RM4.14 sesaham terhadap Inari Amertron.
Menurut firma itu, pembekuan harga jualan pada pelancaran telefon pintar utama peringkat permulaan Apple baru-baru ini dan panduan suku keempat yang positif daripada pelanggan utama segmen frekuensi radio (RF) memberi petanda baik untuk kumpulan melangkah ke separuh kedua 2022 dengan lebih kukuh.
Katanya, berikutan pertumbuhan 14% tahun ke tahun bagi segmen tanpa wayar pada suku ketiga, pelanggan utama RF di Amerika Syarikat (AS) memberi panduan prestasi yang kukuh pada suku keempat dengan meningkat 10% tahun ke tahun dan 20% suku ke suku.
"Ditambah dengan pelancaran telefon pintar utama Apple pada 9 September yang berharga setanding dengan model peringkat permulaan 2021 (kejutan positif memandangkan tekanan inflasi/rantaian bekalan), kami menjangkakan jualan telefon pintar Apple kekal berdaya tahan pada separuh kedua dengan pertumbuhan tahun ke tahun yang mendatar, paling teruk," katanya dalam nota kajian bertarikh 9 September 2022.
Sebelum pelancaran itu, Apple dijangka mengeluarkan 90 juta unit iPhone 14 pada tahun ini (secara kasar menyamai iPhone 13 pada 2021) dengan harga kira-kira 15% lebih tinggi.
Ini ditambah dengan pembekuan harga jualan purata (ASP) dijangka meningkatkan jualan seterusnya dan ia dilihat peluang yang baik kepada Inari Amertron bagi prestasi suku pertama dan kedua tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 (FY23).
Pada 31 Ogos lalu, IDC menyemak semula anggaran penghantaran telefon pintar global 2022 kepada -6.5% tahun ke tahun (daripada -3.5% pada 31 Mei 2022) di tengah-tengah permintaan yang perlahan dari China, (mengambil kira 50% daripada pengurangan keseluruhan).
Meskipun pasaran dijangka kembali mencatat pertumbuhan kukuh pada 2023, tetapi Maybank IB berpendapat Apple akan terlindung secara relatif daripada kelembapan yang dialami tahun ini.
"Ini disebabkan ketidakanjalan permintaan atau pendapatan daripada asas pelanggan yang setia dan keupayaannya untuk melaksanakan kawalan ke atas rantaian bekalannya melalui perjanjian jangka panjang.
"Selain itu, ia memiliki kekuatan ekosistem perisiannya dan UI/UX yang lancar serta kekurangan persaingan daripada pengeluar China dalam segmen premium," jelasnya.
Secara keseluruhan, firma itu mendapati masih terdapat beberapa faktor risiko yang boleh mempengaruhi unjuran pendapatan, harga sasaran dan penarafan Inari Amertron.
Katanya, penurunan mendadak dalam pasaran global bagi elektronik terutamanya telefon pintar akan menjejaskan permintaan komponen yang dikeluarkan Inari kepada pelanggan utamanya seperti Broadcom dan OSRAM.
"Reka bentuk komponen yang berkaitan dengan pengeluaran semasa kumpulan juga akan menjejaskan hasil dan pendapatannya.
"Selain itu, turun naik kadar tukaran asing, terutamanya dolar AS/ringgit, akan menjejaskan pendapatan Inari Amertron, kerana lebih dua pertiga daripada hasilnya dan COGS didenominasikan dalam dolar AS," katanya.
Setakat 12.22 tengah hari ini, harga sahamnyasusut 3 sen atau 1.07% kepada RM2.77 dengan 1.71 juta saham diniagakan. - DagangNews.com