INCIEF bekerjasama dengan Universiti Monash perluas perspektif kewangan Islam | DagangNews Skip to main content

INCIEF bekerjasama dengan Universiti Monash perluas perspektif kewangan Islam

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INCEIF, Prof. Datuk Dr Azmi Omar

 

 

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Pusat Pengajian Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF) dan Universiti Monash yang berpangkalan di Australia hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk mengintegrasi perspektif kewangan Islam dalam isu-isu global utama berkaitan pandemik. 

 

Kerjasama antara INCEIF dan Pasukan Kajian Pandemik dari Monash Business School ini merupakan salah satu usaha kedua-dua buah institusi akademik ternama ini untuk meneroka peranan kewangan Islam di dalam pembaikpulihan sosio-ekonomi dunia. 

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INCEIF, Prof. Datuk Dr Azmi Omar berkata, pandemik ini telah menyedarkan penduduk dunia betapa pentingnya infrastruktur kajian yang stabil dan kewujudan dana bagi persediaan sebarang tragedi yang melibatkan keselamatan awam. 

 

Katanya, ia juga mempercepatkan pengadaptasian teknologi digital di dalam kehidupan seharian pada ketika semua pihak dinasihatkan agar duduk di rumah dan meminimumkan pergaulan sosial serta hubungan fizikal. 

 

"Dalam hal ini, INCEIF amat berbangga dapat bekerjasama dengan Universiti Monash, melalui Monash Business School. 

 

"Harapan kami agar dapat membawa perspektif kewangan dan ekonomi Islam kepada isu-isu utama yang timbul akibat pandemik yang melanda dunia dan membantu dalam usaha pembaikpulihan situasi global," katanya.

 

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani MoU itu secara maya hari ini yang turut dihadiri Dekan Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Monash Business School, Universiti Monash, Prof. Simon Wilkie.

 

Acara tersebut turut menyaksikan sebuah ceramah ringkas dari Prof Paresh Kumar Narayan, iaitu Ketua Pasukan Kajian Pandemik, Monash Business School bertajuk Road to Recovery – In the Pandemic and Post-Pandemic.

 

Pasukan Kajian Pandemik adalah sebahagian daripada Monash Business School dan ditubuhkan dengan objektif membekalkan nasihat berkaitan polisi dan menjalankan kajian di tahap global untuk membantu negara-negara dunia dalam menangani cabaran pandemik COVID-19. 

 

Monash Business School adalah universiti perniagaan yang terbesar di Australia dan diiktiraf dengan pelbagai anugerah kecemerlangan antarabangsa dalam bidang kajian dan pendidikan. 

 

Sementara itu, Simon berkata, kerjasama dengan INCEIF ini adalah langkah penting untuk memastikan agar kajian yang telah dan bakal dijalankan kelak turut meliputi perspektif kewangan Islam. 

 

"Dunia kini telahpun berubah dan untuk mengatasi cabaran ekonomi dan sosial yang dibawa oleh COVID-19 dengan efektif, kami perlu memberi perhatian kepada semua pandangan dari setiap sudut," jelas beliau. - DagangNews.com