KUALA LUMPUR 1 April - Pusat Antarabangsa bagi Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF) dan anak syarikatnya, ISRA International Consulting Sdn. Bhd. (ISRA Consulting) serta Institut Kewangan Islam Profesional Bertauliah (CIIF) akan membangunkan bakat dalam industri kewangan Islam yang semakin berkembang pesat.
Inisiatif tersebut dapat membantu Malaysia mencapai matlamat untuk menjadi pusat teknologi kewangan (fintech) Islam di ASEAN dan juga sebagai tempat latihan utama bagi pakar-pakar kewangan Islam di rantau ini.
Ini menyaksikan ketiga-tiga pihak menandatangani memorandum persefahaman hari ini dengan INCIEF diwakili Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof Datuk Dr. Azmi Omar manakala ISRA Consulting diwakili oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Dr. Muhammad Syahmi Mohd Karim dan CIIF diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Dr. Azura Othman.
Menurut Azmi, kerjasama itu akan membuka jalan untuk meningkatkan kesedaran dan perkongsian ilmu mengenai kewangan Islam serta menyediakan platform yang akan menghasilkan rangkaian untuk alumni INCEIF dan ahli CIIF.
Katanya, ini seterusnya menghubungkan wacana dan kepimpinan pemikiran dalam amalan berkaitan kewangan Islam.
“INCEIF merupakan ketua pemikiran dan ilmu dalam kewangan Islam dan kami sangat berbesar hati untuk berkongsi kepakaran kami dalam agenda nasional ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menerusi MoU itu, INCEIF, ISRA Consulting dan CIIF akan menjalankan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan pembangunan bakat baru di dalam industri Kewangan Islam.
Ia akan memberi fokus, tetapi tidak terhad kepada aspek kerjasama akademik dan pertukaran sumber pendidikan serta gabungan bersama program-program pembelajaran serta penyelidikan dan penerbitan bersama di dalam industri perkhidmatan kewangan Islam.
Sementara itu, Azura berkata, berbekalkan jumlah keahlian yang telah meningkat secara positif sejak 6 tahun lalu, CIIF bersama rakan-rakan pelatihnya bersedia untuk membentuk masa depan bagi bakal pemimpin-pemimpin di dalam kewangan Islam di samping membina saluran mampan untuk memupuk bakat di dalam industri ini.
“CIIF amat komited untuk sentiasa membangunkan dan melaksanakan strategi bagi menyediakan platform dan alatan yang penting bagi pengamal industri serta bakat baharu untuk membangunkan kemahiran dan kecekapan mereka ke tahap tertinggi di dalam industri ini.
"Apabila industri ini kian maju, bakat yang memacu industri juga perlu berkembang. Ini sangat penting kerana kami berharap dapat memenuhi permintaan di dalam industri yang semakin meningkat," katanya. - DagangNews.com