Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 23 Sept. - Indeks harga pengguna (IHP) menurun sebanyak 1.4% pada Ogos 2020 kepada 120.1 berbanding 121.8 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Penurunan keseluruhan IHP telah dipengaruhi oleh penurunan indeks Pengangkutan (-9.9%), Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api Lain (-3.0%), Pakaian dan Kasut (-0.6%) dan Hiasan, Perkakasan dan Penyelenggaraan Isi Rumah (-0.1%) yang menyumbang 45.7% daripada keseluruhan wajaran.
Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, bagaimanapun, indeks Makanan dan Minuman Bukan Alkohol meningkat 1.3% kepada 135.2 berbanding 133.5 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
“Kumpulan indeks itu menyumbang 29.5% daripada keseluruhan wajaran IHP. Selain itu, Pelbagai Barangan dan Perkhidmatan turut menunjukkan peningkatan 3.1% diikuti Komunikasi (1.6%), Kesihatan (1.1%) dan Pendidikan (1.1%).
“Sementara itu, IHP bagi tempoh Januari hingga Ogos 2020 menurun 1% berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya. Penurunan ini dipengaruhi oleh Pengangkutan (-10.0%), Pakaian dan Kasut (-1.0%) dan Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api Lain (-1.0%),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Walaupun perubahan IHP tahunan menurun, namun IHP bulanan meningkat 0.2% berbanding Julai 2020.
Peningkatan itu didorong oleh indeks Pelbagai Barangan dan Perkhidmatan (0.7%), Pengangkutan (0.4%), Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api Lain (0.2%), Makanan dan Minuman Bukan Alkohol (0.1%), Minuman Alkohol dan Tembakau (0.1%), Kesihatan (0.1%) dan Restoran dan Hotel (0.1%).
Bagi IHP mengikut negeri pula, Mohd. Uzir berkata, walaupun prestasi semua negeri bertambah baik, namun indeks bagi semua negeri menunjukkan penurunan antara 0.7% hingga 2.2% bagi Ogos 2020 berbanding Ogos 2019.
“Penurunan tertinggi dicatatkan oleh Melaka (-2.2%) dan Sabah dan Labuan (-2.2%). Ini diikuti oleh Kedah dan Perlis (-2.1%) dan Sarawak (-2.1%).
“Namun begitu, semua negeri mencatatkan peningkatan bagi indeks kumpulan Makanan dan Minuman Bukan Alkohol.
“Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Selangor dan Putrajaya (2.3%), diikuti oleh Johor (1.7%), Terengganu (1.5%), Perak (1.4%), Negeri Sembilan (1.4%) dan Pahang (1.4%) yang turut melebihi paras nasional (1.3%),” tambahnya. - DagangNews.com