Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 11 Sept. - Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) kembali mencatatkan pertumbuhan yang positif sebanyak 1.2% pada Julai 2020.
Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan positif itu dicatatkan semenjak Februari 2020 berbanding bulan sama pada tahun sebelumnya.
"Peningkatan IPP pada Julai 2020 didorong oleh kenaikan 2.9% dalam indeks Pembuatan.
"Bagaimanapun, indeks Perlombongan dan indeks Elektrik masing-masing merekodkan kemerosotan 3.0% dan 5.1%," jelasnya dalam satu kenyataan yang dipaparkan dalam laman web rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.
Tambah beliau, berdasarkan perbandingan tahun ke tahun, output sektor pembuatan meningkat 2.9% pada Julai 2020 selepas mencatatkan pertumbuhan 4.7% pada Jun 2020.
Subsektor utama yang menyumbang kepada kenaikan sektor tersebut pada Julai adalah Produk Peralatan Elektrik dan Elektronik pada kadar 9.6%.
Baca: Penduduk bekerja meningkat 0.6% pada Julai
Manakala subsektor bagi Kelengkapan Pengangkutan dan Pembuatan lain dan Produk Petroleum, Kimia, Getah dan Plastik masing-masing menyumbang sebanyak 9.0% dan 1.5%.
Output bagi sektor perlombongan pula menguncup 3.0% pada Julai 2020 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Baca: Kadar pengangguran Julai 2020 turun kepada 4.7%
Kemerosotan tersebut disebabkan oleh penurunan dalam indeks Minyak Mentah dan Kondensat sebanyak -1.2% serta indeks Gas Asli sebanyak -4.4%.
"Output sektor elektrik menguncup 5.1% pada Julai 2020 berbanding bulan sama 2019," tambahnya. - DagangNews.com