Indonesia mulakan pembinaan frigat terbaharu, Malaysia masih terkial-kial siapkan LCS | DagangNews Skip to main content

Indonesia mulakan pembinaan frigat terbaharu, Malaysia masih terkial-kial siapkan LCS

PT PAL Indonesia sebelum ini berjaya membina dua frigat kelas Sigma.
Fokus Berita oleh ZAKI SALLEH

KETIKA Malaysia masih berunding, lebih-lebih lagi dengan terbentuknya kerajaan baharu pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mengenai masalah kelewatan pembinaan kapal tempur pesisir (LCS), lndonesia pula terus mengorak langkah memulakan program frigat terbaharu.

 

Industri maritim negara jiran tersebut terus rancak melaksanakan pemodenan angkatan lautnya apabila memasuki fasa lebih maju membina dua buah kapal frigat.

 

Acara pemotongan besi pertama (first steel cutting) telah dilakukan pada Sabtu lalu untuk pembuatan kapal yang dinamakan Projek Fregat Merah Putih di limbungan syarikat PT PAL Indonesia di Surabaya.

 

Pembinaan kapal terbaharu Tentera Nasional Indonesia - Angkatan Laut (TNI - AL) ini berasaskan rekaan frigat Arrowhead 140 (atau Frigat Type 31) milik Babcock International Group dari Britain.

 

Ia susulan kerjasama yang dimeterai antara pihak PT PAL Indonesia dan Babcock International Group pada September 2021 bagi memberi kebenaran pembinaan tersebut.


 

tudm
Majlis pemotongan besi pertama pada 10 Disember 2022 menandakan bermulanya Projek Fregat Merah Putih di limbungan syarikat PT PAL Indonesia di Surabaya.

 


Menerusi persetujuan ini, PT PAL Indonesia boleh membina dua kapal perang Arrowhead 140 di Indonesia dengan modifikasi rekabentuk khusus untuk TNI - AL.

 

Bagaimana pun, beberapa komponen penting pada Fregat Merah Putih tetap akan dibekalkan pihak Babcock Internacional Group.

 

Fregat Merah Putih memiliki panjang 138.7 meter (m), lebar 19.8m, berat 5,700 tan serta 100 kru.

 

Difahamkan, projek pembinaan ini akan mengambil masa selama 69 bulan dengan jangkaan untuk diserahkan pada tahun 2026 - 2027.

 

Frigat Type 31 juga menjadi pilihan Tentera Laut Diraja Britain yang kini dalam proses untuk menerima lima buah kapal.

 

Pembinaan Fregat Merah Putih ini mengimbas kembali lapan tahun lalu apabila PT PAL Indonesia memulakan program Kapal Perusak Kawal (PKR)/ Fregate No. 1 juga di lokasi sama.


 

tudm
Fregat Merah Putih berasakan rekaan Frigat Type 31 buatan  Britain.

 


Program PKR ialah pembinaan frigat kelas Sigma menerusi usahasama Indonesia dengan firma pertahanan Damen Schelde Naval Shipbuilding (DSNS), Belanda.

 

Pembangunan kapal ini dibahagi dalam enam modul iaitu empat modul dibina pihak PT PAL Indonesia manakala baki dua modul disiapkan di Belanda.

 

Peletakan lunas kapal kemudian dibuat pada 18 Januari 2016 sebelum kapal dipasang enam bulan kemudian.

 

Kapal pertama, KRI Raden Eddy Martadinata (331) telah ditauliahkan pada April 2017 diikuti kapal kedua, KRI I Gusti Ngurah Rai (332).

 

Keseluruhannya Indonesia memiliki enam kapal perang kelas Sigma termasuk empat jenis korvet (kelas Diponegoro) yang dibina sepenuhnya di Belanda.

 

Sepertimana Malaysia, Indonesia sebagai negara maritim dilihat meletakkan kekuatan pertahanan laut sebagai teras utama menerusi sokongan syarikat tempatan.

 

Republik itu benar-benar berjaya menjadikan industri pertahanan tempatan sebagai salah satu pemangkin ekonomi termasuk menggiatkan aktiviti industri hiliran.

 

Sementara itu, negara jiran Filipina pula terus memperkasakan angkatan udaranya apabila menerima dua buah helikopter tempur T129B Atak buatan Turkiye.

 

Ini merupakan helikopter ketiga dan empat yang diterima Tentera Udara Filipina (PAF), manakala baki dua helikopter terakhir akan dihantar tahun depan.

 

Perolehan bernilai AS$269 juta ini dimeterai kerajaan Filipina dan Turkiye pada Julai 2020 yang merupakan sebahagian daripada program pemodenan Horizon Fasa 2.


 

tudm
Filipina menerima dua buah helikopter tempur T129B Atak buatan Turkiye daripada enam buah kesemuanya.

 


Helikopter T129 dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI) berasaskan pesawat AgustaWestland A129 Mangusta.

 

Aset-aset baharu ini bagi mengimbangi helikopter tempur terpakai Bell AH-1S Huey Cobra yang diterima dari Jordan.

 

Helikopter T129B Atak akan diperanankan bagi tugasan tinjauan, pemantauan dan operasi serangan udara.


 

T129B Atak

 


Pada Tahun 2018, syarikat DRB HICOM Defence (DEFTECH) telah memeterai kerjasama dengan TAI untuk mentawar dan membekalkan helikopter tempur T129 Atak kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

 

Bagaimana pun, rancangan perolehan helikopter tempur walaupun ada dalam kemahuan ATM tetapi belum dipertimbangkan oleh kerajaan yang perlu mengutamakan keperluan aset-aset lain. - DagangNews.com