Industri hospitaliti harap bantuan kerajaan menerusi Belanjawan 2022  | DagangNews Skip to main content

Industri hospitaliti harap bantuan kerajaan menerusi Belanjawan 2022 

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 22 Okt. - Pemain industri hospitaliti tempatan berharap kerajaan dapat memberikan bantuan kewangan kepada sektor tersebut menerusi Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan minggu depan.

 

Naib Presiden & Ketua OYO Malaysia & Singapura, Tan Ming Luk berkata, walaupun ianya bukan bertujuan untuk menggantikan kerugian yang dialami oleh perniagaan akibat daripada pandemik ini, namun bantuan sedemikian dapat mengurangkan impak dengan membantu mengurangkan kos, meningkatkan permintaan dan menyelesaikan masalah aliran tunai hingga jumlah pelancong kembali pulih. 

 

Katanya, kos boleh dikurangkan menerusi penangguhan bayaran yuran pelesenan, cukai jualan dan perkhidmatan, dan lain lain selama setahun. 

 

"Bersama-sama dengan mekanisme yang telah pun dilaksanakan, ianya boleh dilaksanakan secara terus. Subsidi upah juga boleh dilanjutkan sehingga Mac 2022, yang akan memberi manfaat kepada lebih kurang 4.8 juta pekerja Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS)," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

 

Tambahnya, adalah penting untuk semua pihak merancang bagaimana industri hospitaliti boleh mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan apabila ekonomi kembali pulih sepenuhnya. 

 

"Malaysia kini sedang beralih kepada fasa endemik dan tanda-tanda pemulihan mulai kelihatan dan pemulihan sektor pelancongan dan hospitaliti bergantung kepada pengukuhan semula kepercayaan di antara destinasi pelancongan dan sumber pasaran, dan di sini, kerajaan persekutuan dan negeri perlu memainkan peranan dalam menyelaras industri hospitaliti secara berkesan bagi mencapai matlamat ini," katanya.

 

Selain itu beliau turut berharap kerajaan meneruskan penangguhan cukai untuk syarikat-syarikat dalam industri pelancongan, yang sebelum ini diperkenalkan untuk ejen pelancongan, pengendali hotel, syarikat penerbangan dan lain-lain untuk selama 6 bulan mulai 1 April hingga 30 September 2020.

 

"Langkah itu terbukti sangat membantu, dan kami mencadangkan agar inisiatif ini diperkenalkan semula untuk PKS di dalam sektor pelancongan. 

 

"Inisiatif ini boleh dilaksanakan untuk tempoh permulaan selama 6 bulan mulai Oktober 2021 hingga April 2022, membolehkan syarikat-syarikat itu menangguhkan bayaran cukai pendapatan bulanan mereka," katanya. -DagangNews.com