KUALA LUMPUR 7 Nov - Masalah industri keluli dijangka berterusan sehingga 2024 kesan daripada penurunan permintaan khususnya dari China selain berlaku lebih kapasiti dalam rantau ASEAN.
RHB Investment berkata, penggunaan kelui di China menurun sejak 2021 tetapi penggunaan keluli di peringkat global adalah stabil didorong pertumbuhan di India dan Jepun
Katanya, pengeluaran dan penggunaan keluli mentah di China semakin berkurangan berbanding 2020 dan ia mencerminkan perubahan struktur di China apabila pengguna keluli beralih kepada sektor hartanah kepada infrastruktur serta pembuatan.
Sementara itu Institut Besi dan Keluli Asia Tenggara (SEAISI) mendedahkan bahawa ASEAN berada di ambang kemasukan besar-besaran kilang mega bersepadu dan sekiranya menjadi kenyataan, lebih 71 tan kapasiti keluli boleh membanjiri pasaran menjelang 2026.
"Ini menimbulkan kebimbangan, kerana kapasiti akan mengatasi permintaan atau penggunaan keluli ketara (ASC) di rantau ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Sementara itu, firma penyelidikan itu berkata, industri keluli menyumbang 28% daripada jumlah pelepasan karbon sektor bagi pembuatan tempatan, dan 4% daripada jumlah pelepasan karbon Malaysia, pendekatan pelbagai aspek diperlukan bagi mencapai sasaran sifar bersih Malaysia menjelang 2050.
Tindakan terbaik dan paling mudah katanya adalah tenaga boleh diperbaharui dan kecekapan tenaga (EE) sebagai langkah paling mudah diakses dan kos efektif untuk mengurangkan pelepasan karbon.
"Peralihan boleh dibuat kepada elektrifikasi menggunakan relau elektrik (EAF), pengurangan langsung berasaskan hidrogen (H2-DRI), penangkapan dan penyimpanan/penggunaan karbon (CCS/CCU), dan biotenaga CCS (BECCS).
"Penerimaan teknologi canggih ini adalah bergantung kepada kematangan teknologi dan daya maju ekonomi Malaysia," katanya.
RHB Investment mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor itu dengan Press Metal Aluminium Berhad dan Malayan Cement sebagai pilihan utama. - DagangNews.com