Industri maritim Thailand terus maju, berjaya siapkan dua bot peronda tentera laut | DagangNews Skip to main content

Industri maritim Thailand terus maju, berjaya siapkan dua bot peronda tentera laut

Dua bot peronda T.997 dan T.998 milik Thailand.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 26 Sept - Industri maritim Thailand terus mempamerkan kebolehan apabila berjaya menyiapkan pembinaan dua bot peronda pantai untuk tentera laut negara itu.

 

Syarikat Marsun Public Company Limited telah menyerahkan bot kelas Tor ini iaitu T.997 dan T.998 kepada Tentera Laut Diraja Thailand (RTN) di Chonburi.

 

RTN menganugerahkan kontrak kepada syarikat itu sebagai pembina bot peronda bagi menyokong Strategi Pembangunan Tentera Laut 2015–2024 yang memerlukan 16 buah bot peronda.

 

Ini juga sebagai usaha untuk mempromosikan keupayaan industri maritim Thailand.

 

Thailand
Pembinaan dua bot peronda ini membuktikan kemampuan industri maritim Thailand.

 

Kontrak pembinaan kedua-dua bot ini telah dimeterai pada Julai 2019 manakala peletakan lunas kapal (keel laying) dilakukan empat bulan kemudian.

 

RTN meluluskan pembinaan bot tersebut untuk menyokong keperluan operasinya dan menyumbang kepada industri pembinaan kapal negara.

 

Ini adalah sebahagian daripada inisiatif Raja Thailand, Raja Bhumibol Adulyadej untuk meningkatkan keupayaan tentera laut melalui pembinaan aset-aset dalam negara.

 

Program pembinaan dua bot ini adalah kelangsungan daripada pembinaan bot peronda pantai yang awal iaitu T.91.

 

Kapal
RTN memberi sokongan kepada syarikat tempatan untuk menyokong pemodenan angkatan tersebut.

 

Kapal

 

Bertitik tolak daripada ini, RTN mengarahkan pembinaan seterusnya iaitu bot T.991-993 dan T.994-996. 

 

Atas kejayaan tersebut program ini diteruskan yang mana penambahbaikan dilakukan pada T.997 dan T.998 dengan meningkatkan keupayaan untuk memenuhi keperluan misi agar lebih baik.

 

Dengan panjang kapal 41.45 meter (m) dan lebar 7.2 meter, kedua-duanya mampu berlayar pada kelajuan maksimum 28 knot dengan menggunakan enjin MAN serta propeller WARTSILA.

 

Kapal
Dua bot peronda baharu ini akan diguna bagi mengawasi perairan Thailand.

 

Ia boleh memuatkan 33 kru untuk melaksanakan operasi berterusan di laut selama sekurang-kurangnya 7 hari tanpa ulang bekal.

 

Bot ini akan digunakan untuk pengawasan pantai, melindungi aktiviti nelayan dan sumber asli di Teluk Thailand dan Laut Andaman selain menguatkuasakan undang-undang maritim.- DagangNews.com