Industri minyak sawit dijangka terus catat prestasi terbaik tahun ini - Zuraida | DagangNews Skip to main content

Industri minyak sawit dijangka terus catat prestasi terbaik tahun ini - Zuraida

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 13 Jan - Prospek pasca COVID-19 industri sawit di Malaysia dijangka mencatatkan prestasi yang kukuh memandangkan keadaaan bekalan dan permintaan terus stabil serta jangkaan pemulihan daripada situasi kekurangan tenaga kerja.

 

Ini juga didorong oleh prestasi memberangsangkan bagi 2021, terutama harga minyak sawit mentah (MSM) yang mencatatkan angka tertinggi dalam sejarah.

 

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin melihat permintaan kukuh untuk minyak sawit daripada pasaran pengimport utama termasuk permintaan yang meningkat dalam sektor hotel, restoran dan kafeteria (horeca) dan aktiviti penstokan semula yang telah bermula sejak pemulihan pandemik COVID-19.

 

"Untuk tahun ini, kami menjangkakan prestasi yang lebih baik disokong oleh peningkatan dalam pengeluaran. 

 

"Eksport dijangka bertahan dengan prospek minyak dan lemak global yang lebih baik, dan dasar perdagangan yang menggalakkan di negara pesaing dan pengimport,” katanya. 

 

 

zuraida kamaruddin
Zuraida Kamaruddin

 

 

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Seminar Kajian dan Tinjauan Ekonomi Minyak Sawit (R&O) 2022, anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) hari ini.

 

Bertemakan 'Industri Sawit: Mengemudi Cabaran Merangkul Peluang dalam Landskap Pasca COVID', seminar itu memfokuskan kepada hala tuju industri sawit, pendekatan yang diambil oleh kerajaan serta pembangunan perdagangan dan kesannya terhadap komoditi.

 

Pada 2021, harga purata MSM melonjak sebanyak 64.1% kepada RM4,407 satu tan metrik, tertinggi dalam sejarah minyak sawit, daripada RM2,685.50 satu tan pada 2020 disebabkan ketersediaan bekalan yang ketat akibat kekurangan buruh berikutan penularan pandemik.

 

Harga purata MSM bulanan dan harian mencapai kemuncak sejarah masing-masing sebanyak RM5,341 satu tan pada November 2021 dan RM5,429 pada 19 November 2021.

 

Menurut Zuraida, ia mengakibatkan peningkatan ketara dalam jumlah hasil eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit lain sebanyak RM29.28 bilion atau lebih tinggi sebanyak 40.1% kepada RM102.34 bilion berbanding RM73.06 bilion pada 2020 disebabkan oleh harga eksport yang tinggi.

 

"Ini menyaksikan pendapatan eksport minyak sawit meningkat sebanyak RM19.67 bilion atau 40.2% kepada RM68.65 bilion daripada RM48.98 bilion pada 2020.

 

“Industri sawit terus memacu pertumbuhan ekonomi negara dan permintaan dunia terhadap minyak sawit dalam industri makanan dan sektor komersial dijangka terus meningkat pada 2022,” katanya.

 

Mengenai kemajuan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), beliau berkata, sebanyak 5.42 juta hektar atau 92.39% daripada 5.87 juta hektar kawasan tanaman kelapa sawit telah mendapat Pensijilan MSPO menjelang akhir 2021.

 

Menurutnya, standard MSPO telah disemak semula untuk mengurangkan kekaburan dan meningkatkan kredibiliti untuk mendapat pengiktirafan daripada pasaran antarabangsa. 

 

Katanya, standard yang disemak termasuk penambahbaikan terhadap amalan sosial dan buruh yang baik, nilai pemuliharaan tinggi (HCV) dan penilaian impak sosial (SIA) dan kuantifikasi pelepasan gas rumah hijau (GHG).

 

“Saya berharap dengan semakan semula standard MSPO, pengeluaran minyak sawit yang mampan secara menyeluruh akan meningkatkan keyakinan pengguna dan memudahkan perdagangan minyak sawit Malaysia di pasaran antarabangsa, seterusnya meningkatkan daya saing pasarannya dalam jangka panjang,” katanya.

 

Beliau juga berkata, kementeriannya dan agensi di bawahnya sedang giat menggerakkan usaha menangani kempen anti-minyak sawit di dalam dan luar negara yang merangkumi pertemuan dan perbincangan dengan penggubal undang-undang di Eropah dan Amerika Syarikat (AS) untuk menjaga kepentingan industri minyak sawit Malaysia. - DagangNews.com