Industri runcit catat jumlah serangan siber tertinggi di Asia Pasifik - Kaspersky | DagangNews Skip to main content

Industri runcit catat jumlah serangan siber tertinggi di Asia Pasifik - Kaspersky

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 6 Dis - Industri peruncitan mencatatkan jumlah serangan siber tertinggi di rantau Asia Pasifik sejak dua tahun lepas, menurut firma keselamatan global Kaspersky.

 

Kaspersky berkata, menerusinya kaji selidik terkininya menunjukkan faktor kekurangan agihan peruntukan keselamatan siber menyumbang kepada 19% firma-firma Asia menjadi sasaran serangan siber.

 

"Organisasi runcit mencatatkan jumlah pencerobohan siber yang tinggi berikutan kekurangan peruntukan (37%) dan diikuti oleh syarikat-syarikat telekomunikasi (33%) manakala sektor infrastruktur kritikal serta minyak dan gas (23%)," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Menurut Kaspersky, industri perkhidmatan kewangan disifatkan sebagai paling berjaya daripada segi pengagihan peruntukan sewajarnya bagi tujuan keselamatan siber di rantau Asia Pasifik.

 

Pengarah Urusan Kaspersky Asia Pasifik, Adrian Hia berkata, pasaran e-dagang di rantau itu dijangka bernilai AS$2 trilion (AS$1=RM4.66) menjelang akhir 2023.

 

"Peruncitan menjadi industri paling banyak mencatat insiden siber berikutan penjenayah siber yang menyusuri jejak wang.

 

"Syarikat-syarikat ini adalah sebahagian daripada pergerakan pendigitalan lebih besar di rantau ini dan mempunyai maklumat data yang besar, khususnya kewangan," katanya.

 

 

kaspersky
Adrian Hia

 

 

Hia menggesa semua industri di rantau ini, terutama yang mengendalikan maklumat penting untuk menyediakan peruntukan keselamatan siber lebih baik bagi memastikan jaminan keselamatan perniagaan mereka selain data sensitif pelanggan masing-masing.

 

Dalam kaji selidik itu, Kaspersky menemubual 234 responden bagi mendapatkan pandangan maklumat profesional keselamatan teknologi mengenai impak terhadap keselamatan siber di sesebuah syarikat. - DagangNews.com