KUALA LUMPUR 3 Sept - Industri sarung tangan getah dijangka menjana sehingga RM12.4 bilion hasil eksport tahun ini, menurut Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin.
Beliau berkata, Malaysia mengeksport sarung tangan getah bernilai lebih RM11.8 bilion pada 2023 yang merupakan 45% daripada bahagian pasaran global.
Selain itu, beliau berkata, pada separuh pertama 2024 (1H24), hasil industri sarung tangan getah meningkat kepada RM6.8 bilion, berbanding RM5.8 bilion pada tempoh sama 2023.
"Industri telah menunjukkan daya tahan sebagai tindak balas semasa pandemik Covid-19, apabila permintaan sarung tangan meningkat, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk menyokong sektor perubatan di seluruh dunia.
"Kejayaan membuktikan komitmen dan inovasi pengeluar Malaysia yang mengeksport ke 195 negara di seluruh dunia," kata beliau semasa Persidangan & Pameran Sarung Tangan Getah Antarabangsa ke-11 (IRGCE 2024) hari ini.
Chan berkata, kadar penggunaan sarung tangan getah diunjurkan meningkat kira-kira 6% hingga 8% setahun.
Beliau juga berkata, sarung tangan getah telah berkembang menjadi penting dalam pelbagai industri bukan penjagaan kesihatan, termasuk sektor semikonduktor dan kegunaan harian di rumah.
"Malaysia kekal di pusat pertumbuhan ini, memacu inovasi dan memenuhi permintaan dunia yang semakin meningkat untuk produk penting ini," ujar beliau.
Namun begitu, Chan menekankan kepentingan untuk menangani cabaran sedia ada dalam industri, seperti turun naik harga getah, serta isu-isu baru muncul seperti kawasan ladang getah yang belum diterokai dan penyakit tumbuhan yang menjejaskan pengeluaran dan hasil getah mentah secara mendalam.
Beliau juga berkata, kementeriannya komited untuk menangani isu ini dengan memanfaatkan kemajuan teknologi dan penyelidikan untuk meningkatkan produktiviti, kualiti dan daya saing global.
“Kami yakin model baharu kami yang dipacu secara komersial akan meningkatkan hasil getah negara dengan ketara, mengoptimumkan pengurusan perladangan dan buruh, dan akhirnya meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah,” katanya.
Sementara itu, Chan menggalakkan industri sarung tangan getah Malaysia untuk terus mengintegrasikan amalan mampan dalam industri, termasuk pembangunan sarung tangan mesra alam, inisiatif pemuliharaan air dan pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui (RE).
- DagangNews.com