Inflasi : Pendirian monetari BNM tidak berubah - Firma | DagangNews Skip to main content

Inflasi : Pendirian monetari BNM tidak berubah - Firma

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 21 Mei - Indeks harga pengguna (IHP) yang direkodkan pada April 2021, melonjak ke paras tertinggi sejak Mac 2017, menurut firma penyelidikan dalam nota kajian mereka hari ini. 

 

Bagi MIDF Research, kenaikan IHP yang mengukur kadar inflasi pada 4.7% itu adalah lebih rendah berbanding unjurannya sebelum itu, 4.9% tahun ke tahun. 

 

"Lonjakan ini disebabkan kesan asas yang rendah tahun lalu apabila aktiviti ekonomi terjejas ekoran perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi mengekang pandemik COVID-19. 

 

"Secara amnya, selain daripada kesan asas ini, tekanan inflasi juga meningkat tahun ini berikutan pengembangan dasar fiskal dan monetari, harga komoditi tinggi dan permintaan yang kembali apabila ekonomi semakin pulih," katanya. 

 

Firma itu menjangkakan kadar inflasi bagi 2021 akan berlegar secara purata pada 2.3% tahun ke tahun. Dalam tempoh 4 bulan ini, kadar purata inflasi mencecah 1.6%. 

 

Di samping itu, katanya, harga minyak mentah Brent juga akan terus berlegar antara AS$58 hingga AS$65 setong pada separuh pertama 2021.

 

"Ini berikutan keputusan OPEC dan sekutunya mahu mengekalkan pengurangan pengeluaran semasa sepanjang Mei ini," tambahnya. 

 

Baca : Kadar inflasi April tertinggi sejak 2018

 

Peningkatan IHP keseluruhan ini adalah didorong oleh kenaikan indeks Pengangkutan (27.0%); Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (3.1%); Makanan & Minuman Bukan Alkohol (1.9%); Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah (1.6%) dan Pelbagai Barangan & Perkhidmatan (1.2%).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan hari ini berkata, kenaikan kadar inflasi dijangka berterusan sehingga suku pertama 2022.

 

Sementara itu, UOB Global Economics & Markets Research berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) dilihat akan terus mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) sepanjang tahun ini. 

 

"Kadar inflasi semasa ini mencerminkan unjuran inflasi kami bagi tahun ini boleh dicapai pada 3% berbanding unjuran rasmi, 2.5 hingga 4%," katanya. 

 

Menurut firma itu, dengan meningkatnya risiko berkaitan pandemik ini dan pasaran buruh yang lemah akan mengurangkan impak tekanan inflasi yang didorong oleh penawaran menjadikan keseluruhan inflasi terkawal.

 

Dalam masa sama, katanya, pelaksanaan PKP 3.0 dan kemungkinan PKP lebih ketat, membolehkan kerajaan meneruskan beberapa inisiatif antaranya pengecualian cukai jualan bagi kenderaan penumpang dan pengurangan bil elektrik, yang dilihat boleh mengehadkan kenaikan inflasi. 

 

"Tambahan pula, kadar faedah sebenar sudah beralih kepada negatif buat kali pertama sejak Disember 2017 pada bulan lalu, mengecilkan ruang untuk sebarang pengurangan kadar faedah lagi," jelas firma itu.
 

UOB berkata, unjuran kadar dasar yang dibuatnya adalah berdasarkan kepada jangkaan BNM yang kekal tidak berubah terhadap pertumbuhan KDNK tahun ini antara 6 hingga 7.5% di sebalik PKP 3.0 dan peningkat harga sementara.

 

Malah, bank pusat dilihat lebih cenderung melaksanakan bantuan kewangan dan bukan kewangan secara bersasar bagi membantu sektor terjejas ketika berdepan pandemik ini, tambahnya.

 

CGS-CIMB berpendapat, BNM akan mengekalkan kadar OPR pada 1.75% sebelum memulakan proses normalisasi dasar pada Mei 2022. 

 

"Kami mengunjurkan kadar OPR menjelang akhir 2022 pada 2.5%," katanya. 

 

Firma tersebut mengekalkan kadar inflasi tahun ini pada 3.1% dengan mengambil kira perbezaan trend inflasi utama dan teras akan berterusan. - DagangNews.com