Inisiatif 'Bersama Malaysia' jadi pemacu agenda digital pertama negara - MIDA | DagangNews Skip to main content

Inisiatif 'Bersama Malaysia' jadi pemacu agenda digital pertama negara - MIDA

Inisiatif 'Bersama Malaysia'

KUALA LUMPUR 20 April - Pelan penubuhan pusat data serantau Microsoft Corp di Malaysia melalui inisiatif 'Bersama Malaysia' akan menjadi pemacu kepada agenda digital pertama negara.

 

Menyambut baik inisiatif berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Arham Rahman berkata, perkara tersebut adalah sejajar dengan aspirasi MyDIGITAL negara selain meningkatkan keyakinan pelabur tempatan dan asing di Malaysia.

 

Katanya, pelaburan Microsoft itu menjadi bukti kukuh terhadap dasar pelaburan Malaysia yang pro-perniagaan, pro-perdagangan dan mesra perniagaan.

 

"Kehadiran Microsoft, penggiat teknologi global, mengembangkan kedudukannya dalam infrastruktur digital di Malaysia membantu membentuk tulang belakang untuk ekosistem digital yang mampan.

 

“Aspek paling penting, komitmen Microsoft melalui infrastruktur digital bertaraf dunia akan meletakkan kita dalam kedudukan yang lebih tinggi untuk maju ke arah negara digital,” katanya seperti dilapor Bernama.

 

Semalam, Microsoft memeterai kerjasama digital bersama Malaysia dengan nilai pelaburan AS$1 bilion atau RM4 bilion bagi tempoh lima tahun.

 

Inisiatif digital berkenaan meliputi pembukaan pusat data serantau yang pertama di Malaysia serta usaha memanfaatkan data raya.

 

Menariknya, inisiatif berkenaan turut membantu mewujudkan 19,000 peluang pekerjaan termasuk 4,000 pekerja berkaitan IT dalam kalangan pengguna awan.

 

Tambah Arham, pusat data serantau Microsoft yang akan datang dijangka memberi manfaat kepada perniagaan tempatan, kerajaan dan masyarakat dalam semua sektor.

 

Ia ditambah dengan kelebihan akses yang cepat kepada perkhidmatan awan paling maju Microsoft serta kemampuan untuk menyimpan data dan aplikasi
di negara ini. 

 

Katanya lagi, pusat data serantau tempatan itu akan terdiri daripada pusat data yang terletak di Greater Kuala Lumpur, beroperasi dalam perimeter yang ditentukan latensi dan dihubungkan melalui rangkaian latensi rendah yang khusus. 

 

"Kami akan terus menyokong usaha Microsoft di Malaysia terutamanya dalam mentransformasikan landskap digital, infrastruktur dan tenaga kerja mahir negara, sekali gus meningkatkan daya saing dan tarikan Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk pelaburan teknologi tinggi," ujar beliau. - DagangNews.com