Inisiatif MPC anjur MTEx dapat jimatkan kos operasi RM283 juta | DagangNews Skip to main content

Inisiatif MPC anjur MTEx dapat jimatkan kos operasi RM283 juta

 

 

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Program Mini Innovation Showcase Team Excellence (MTEx) yang diperkenalkan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) berjaya merekodkan penjimatan kos operasi sebanyak RM283 juta pada 2021 walaupun negara berdepan pandemik COVID-19.

 

Timbalan Ketua Pengarah MPC, Datin Zainon Bakar berkata, program tersebut adalah satu inisiatif bagi  merealisasikan komitmen industri dan sektor awam untuk melaksanakan projek inovasi secara berkumpulan dan dikenali sebagai Team Excellence (TE). 

 

Katanya, ia meliputi Kumpulan Inovatif dan Kreatif (ICC), Amalan Persekitaran Berkualiti (QE/5S), Pengurusan Lean, Industri 4.0 dan lain-lain program peningkatan produktiviti dan inovasi di peringkat organisasi. 

 

"Kumpulan TE bukan sahaja berpeluang menyumbang idea, tetapi diberi pendedahan secara komprehensif tentang cara menentukan masalah dan penyelesaian secara inovatif dan sistematik melalui program Team Excellence," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Penerapan budaya inovasi oleh kumpulan TE di organisasi masing-masing dilaksanakan secara holistik yang melibatkan peruntukan yang spesifik untuk menampung perbelanjaan aktiviti inovasi sepanjang tahun. 

 

Elemen utama di dalam memastikan kumpulan TE sentiasa mencipta kejayaan melalui projek inovasi memerlukan kumpulan mempunyai tahap kompetensi yang tinggi, minda inovatif dan bersedia untuk berubah (agile).

 

Projek inovasi yang dijalankan telah dapat menambahbaik proses kerja sedia ada melalui penggunaan teknologi terkini. 

 

Selain itu, perkhidmatan dan produk yang ditawarkan hasil dari projek inovasi tersebut telah dapat mewujudkan penciptaan nilai yang dapat membantu meningkatkan kecekapan bekerja dan menambah baik pengalaman dan kepuasan pelanggan mereka. 

 

Sebanyak 56 projek inovasi daripada 33 organisasi telah dibentangkan pada MTEx kali ini dan ditanda aras untuk memberi inspirasi kepada 688 peserta yang hadir secara atas talian. 

 

Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan inisiatif inovasi dan produktiviti di peringkat organisasi masing-masing lebih-lebih lagi dalam situasi ketika ini di mana produktiviti dan inovasi menjadi cukup penting dan penentu dalam organisasi. - DagangNews.com