InNature catat untung selepas cukai RM5.6 juta 2QFY22, 3.9 kali lebih tinggi berbanding 2QFY21 | DagangNews Skip to main content

InNature catat untung selepas cukai RM5.6 juta 2QFY22, 3.9 kali lebih tinggi berbanding 2QFY21

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Ogos - InNature Berhad hari ini mengumumkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM5.6 juta dengan hasil RM39.6 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022 (2QFY22).

 

Keuntungan yang dicatatkan pada suku itu adalah 3.9 kali ganda berbanding suku sama pada tahun lalu.

 

Pengarah Urusan InNature, Datin Mina Cheah Foong berkata, berbanding tempoh sama tahun lalu, persekitaran operasi kumpulan mendapat manfaat daripada pengurangan sekatan COVID-19 dan kehadiran semula pelanggan ke pusat beli-belah pada 2QFY22.

 

Katanya, secara keseluruhan, pendapatan kumpulan meningkat 41.8% dengan perkembangan di semua pasaran dengan perniagaan di Malaysia berkembang 49.2%, Vietnam 17.8% dan Kemboja 31.5%.

 

"Saluran digital menyumbang sebanyak 13.9% kepada pendapatan kumpulan untuk 2QFY22.

 

"Saluran jualan ini terus menyumbang sebahagian besar kepada hasil kumpulan walaupun hampir semua kedai kami beroperasi sepenuhnya pada suku itu," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Penambahbaikan dalam PAT disokong oleh strategi berterusan kumpulan yang memberi tumpuan kepada kedai yang lebih besar di pusat membeli-belah berkualiti dan pembukaan dua kedai di Malaysia dan Vietnam, menjadikan jumlah bilangan kedai bertambah kepada 116 pada 30 Jun 2022.

 

Kedudukan kewangan kumpulan kekal kukuh dengan aset bersih sebanyak RM144.8 juta pada 30 Jun 2022.

 

Kumpulan itu menjana aliran tunai operasi bersih sebanyak RM23.0 juta pada 6M2022 dan terus berada dalam kedudukan tunai bersih dengan jumlah tunai dan pelaburan lain sebanyak RM58.4 juta pada 30 Jun 2022.

 

Cheah Foong berkata, peersekitaran perniagaan selepas pandemik tertakluk kepada pelbagai ketidakpastian, termasuk peningkatan kos, inflasi serta kenaikan kadar faedah yang boleh menjejaskan pendapatan pengguna.

 

"Bagaimanapun, kami percaya permintaan untuk jenama The Body Shop akan kekal stabil.

 

"Produk kami telah mengalami perubahan progresif dengan formulasi yang dipertingkatkan dan pembungkusan yang mampan yang diyakini akan membawa nilai yang lebih besar kepada pelanggan," katanya. - DagangNews.com