Intipati ucapan PM Anwar semasa pembentangan Kajian Separuh Penggal RMK12 | DagangNews Skip to main content

Intipati ucapan PM Anwar semasa pembentangan Kajian Separuh Penggal RMK12

Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan (KSP) Malaysia Ke-12 (RMK12) 2021-2025 di Dewan Rakyat hari ini. - Foto/Bernama

KUALA LUMPUR 11 Sept - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) 2021-2025 di Dewan Rakyat hari ini.

 

Berikut antara inti pati ucapan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan:

 

  • Gagasan dalam KSP RMK12 bermatlamatkan "Malaysia MADANI: Mampan, Sejahtera dan Berpendapatan Tinggi".

 

  • KSP RMK12 merestui usaha kerajaan untuk merancang dan melaksanakan agenda pembangunan negara yang mampan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, wadah Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat serta Agenda Pembangunan Mampan 2030.

 

  • RMK12 akan dijajarkan semula dengan visi Ekonomi MADANI, yang menyasarkan pemerkasaan dan merancakkan ekonomi negara untuk tempoh 10 tahun.

 

  • Kerajaan komited untuk membelanjakan sekurang-kurangnya RM90 bilion setahun bagi 2023 hingga 2025 di bawah RMK12.

 

  • Kerajaan akan membelanjakan sepenuhnya peruntukan RM400 bilion di bawah RMK12 dan menambah siling sebanyak RM15 bilion, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan RM415 bilion.

 

  • Peningkatan bertujuan untuk menambah keperluan bagi membiayai bidang keutamaan rakyat, memperbaiki mutu pengurusan dan menyasarkan semula subsidi bagi menampung keperluan asas rakyat.

 

  • Dasar Inovasi Sosial akan dilancarkan pada November ini bagi menggalakkan daya cipta pada peringkat akar umbi.

 

  • Kerajaan akan membangunkan dasar larangan eksport bahan mentah nadir bumi bagi mengelakkan eksploitasi dan kehilangan sumber, lantas menjamin pulangan yang maksimum buat negara.

 

  • Kerajaan menyasarkan Malaysia menjadi peneraju dalam pasaran halal antarabangsa dengan nilai eksport halal sebanyak RM63.1 bilion pada 2025.

 

  • Malaysia akan menganjurkan Persidangan Antarabangsa mengenai Ekonomi dan Kewangan Islam (ICIEF2023) ke-15 di Kuala Lumpur pada Disember ini bagi mencerakinkan permasalahan dalam usaha Malaysia mempelopori peningkatan amalan sistem kewangan Islam yang syumul.

 

  • Kerajaan sedia dana RM346 juta dalam tempoh RMK12 untuk menarik penglibatan golongan belia dalam aktiviti kreatif yang menawarkan pendapatan yang tinggi. - DagangNews.com