IOI Properties umum pelantikan Lee Yeow Seng sebagai CEO, persaraan Voon Tin Yow mulai 1 Julai 2023 | DagangNews Skip to main content

IOI Properties umum pelantikan Lee Yeow Seng sebagai CEO, persaraan Voon Tin Yow mulai 1 Julai 2023

KUALA LUMPUR 2 Jun - IOI Properties Group Bhd telah melantik semula Lee Yeow Seng sebagai ketua pegawai eksekutifnya, berkuat kuasa 1 Julai 2023.

 

Yeow Seng, yang kini merupakan naib pengerusi eksekutif kumpulan itu, menggantikan Datuk Voon Tin Yow, yang akan bersara pada hari yang sama.

 

Menurut makluman syarikat itu di Bursa Malaysia, Yeow Seng menyertai lembaga IOI Properties pada 23 Feb 2013 sebagai pengarah eksekutif.

 

Beliau sebelum ini memegang jawatan sebagai CEO IOI Properties dari 8 Jan 2014, dan kemudiannya dilantik semula sebagai naib pengerusi eksekutif pada 15 April 2020.

 

Yeow Seng merupakan peguam bela dari Bar of England & Wales by Inner Temple, dan juga pengarah bukan eksekutif bukan bebas IOI Corp Bhd.

 

Beliau merupakan suami kepada Yeo Bee Yin, Ahli Parlimen mewakili parti DAP.

 

 

Datuk Lee Yeow Chor
                         Datuk Lee Yeow Chor

 

 

Beliau dan adik-beradiknya Datuk Lee Yeow Chor dan Lee Yoke Har — yang juga menganggotai lembaga pengarah IOI Properties — merupakan pemegang saham utama IOI Properties melalui Vertical Capacity Sdn Bhd, yang memiliki 3.62 bilion saham bersamaan 65.67% kepentingan.

 

 

Lee Yoke Har
                                 Lee Yoke Har

 

Sementara itu, Yeow Seng sendiri memegang 71.32 juta saham mewakili 1.30% kepentingan.

 

Sebaliknya, Voon menamatkan kerjaya selama 39 tahun dalam hartanah, termasuk jawatan kanan dengan pemaju SP Setia Bhd dan Eco World Development Group Bhd.


 

Datuk Voon Tin Yow
              Datuk Voon Tin Yow akan bersara pada 1 Julai 2023


 

Beliau dilantik sebagai CEO IOI Properties pada 15 April 2020, dan ditugaskan untuk menyelia pelbagai segmen perniagaan, iaitu pembangunan hartanah, pelaburan hartanah serta hospitaliti dan riadah, di samping menerajui dalam melaksanakan strategi pertumbuhan yang mampan bagi kumpulan itu. - DagangNews.com