KUALA LUMPUR 11 Jun - Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia melonjak 50.1% pada April 2021, didorong oleh prestasi kukuh sektor pembuatan yang meningkat 68%.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, selain sektor Pembuatan, pertumbuhan IPP pada bulan tersebut turut dipacu oleh peningkatan dalam indeks elektrik (22.9%) dan perlombongan (14.3%).
Katanya, output sektor pembuatan berdasarkan perbandingan tahun ke tahun meningkat 68% pada April 2021 selepas mencatatkan pertumbuhan 12.7% pada Mac.
"Subsektor utama yang menyumbang kepada kenaikan sektor pembuatan adalah Kelengkapan Pengangkutan & Pembuatan Lain (275.2%), Produk Mineral Bukan Logam, Logam Asas & Produk Logam yang Direka (141.0%) dan Produk Peralatan Elektrik & Elektronik (70.1%)," katanya dalam kenyataan hari ini.
Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan itu, industri berorientasikan eksport menyumbang kepada pertumbuhan sektor pembuatan sebanyak 52.8% manakala industri berorientasikan domestik meningkat 110.9%.
Pertumbuhan sektor pembuatan turut didorong oleh kadar kapasiti penggunaan kilang yang tinggi terutama dalam subsektor Produk Peralatan Elektrik & Elektronik dan Produk Petroleum, Kimia, Getah & Plastik.
Output sektor perlombongan tumbuh positif pada April 2021 buat kali pertama sejak Februari 2020 dengan berkembang 14.3% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Kenaikan tersebut disebabkan oleh peningkatan dalam indeks Gas Asli (23.9%) dan indeks Minyak Mentah & Kondensat (2.7%).
Output sektor elektrik meningkat 22.9% pada April 2021 berbanding bulan sama tahun lalu. - DagangNews.com