Iskandar Waterfront City lupus 6 hartanah untuk imbangi hutang | DagangNews Skip to main content

Iskandar Waterfront City lupus 6 hartanah untuk imbangi hutang

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 3 Jun - Iskandar Waterfront City Berhad (IWCity) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Bayou Management Sdn. Bhd. (BMSB) telah melupuskan enam unit hartanah di Danga Sutera yang terletak di Skudai, Johor Bahru, Johor.

 

Keenam-enam unit itu dijual kepada Knusford Equipment Sdn. Bhd. (KESB) pada nilai keseluruhan RM5,006,330, menurut makluman IWCity di Bursa Malaysia.

 

“Nilai pelupusan itu berdasarkan harga jual pemaju semasa dan tidak lebih baik daripada yang ditawarkan kepada masyarakat umum.

 

“Tujuan pelupusan yang dicadangkan itu adalah untuk mengimbangi hutang dengan Kumpulan Knusford Berhad (syarikat induk KEQSB),” jelas IWCity hari ini. 

 

Kesemua unit hartanah itu merupakan rumah teres dua tingkat yang dijual antara nilai RM717,230 hingga RM1,075,080. 

 

IWCity

 

Berdasarkan jadual terma-terma penting perjanjian jual dan beli (SPA) itu, KEQSB akan membayar deposit 10% daripada jumlah keseluruhan apabila perjanjian tersebut telah ditandatangani.

 

Selebihnya akan dibayar dalam tempoh 90 hari daripada tarikh SPA. 

 

Sebagai rekod, KEQSB menjalankan perniagaan dalam industri penyewaan mesin dan peralatan, penyediaan perkhidmatan pengangkutan dan perdagangan bahan binaan.

 

Setakat 5 petang, harga saham IWCity menyusut 1 sen kepada 0.415 sen. - DagangNews.com