Ismail Sabri cadang kerjasama ASEAN-Jepun cipta vaksin | DagangNews Skip to main content

Ismail Sabri cadang kerjasama ASEAN-Jepun cipta vaksin

ISMAIL SABRI YAAKOB berbincang dengan Fumio Kishida pada Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-24 melalui persidangan video, hari ini.

 

 

KUALA LUMPUR 27 Okt - Malaysia mencadangkan agar ASEAN dan Jepun menjalinkan kerajasama bagi menyokong pakar penyelidik dari negara gabungan negara Asia Tenggara itu untuk meneroka peluang penghasilan vaksin di rantau ini.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismal Sabri Yaakob, berkata ini antara persediaan yang boleh dilakukan kedua-dua pihak dalam menempuhi situasi kekurangan bekalan vaksin.

 

Selain itu, beliau berkata langkah itu juga perlu bagi memastikan rantau ini bersiapsiaga berdepan dengan kemungkinan kemunculan penyakit baharu.

 

"Malaysia menghargai sokongan dan sumbangan Jepun mengenai Rangka Kerja Pemulihan Komprehensif ASEAN untuk mengurangkan impak daripada COVID-19. Sumbangan vaksin Jepun kepada negara anggota ASEAN telah memberi sumbangan besar kepada usaha ini.

 

"Melihat kehadapan, ASEAN dan Jepun harus meningkatkan kerjasama pelbagai displin dalam kesihatan supaya rantau ini bersedia dengan lebih baik untuk menghadapi situasi kecemasan berkaitna kesihatan pada masa hadapan.

 

"Pada masa sama, sumbangan Jepun untuk Pusat Kecemasan Kesihatan Awam ASEAN dan Penyakit Baru Muncul adalah penting. Penubuhannya yang tepat pada masanya adalah penting untuk membantu negara anggota ASEAN dalam keadaan teruk dan memerlukan bantuan bagi mengurangkan kesan COVID-19," katanya.

 

Beliau berkata demikian pada sesi ucapan intervensi Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-24 yang diwakili Perdana Menterinya Fumio Kishida, melalui persidangan video, hari ini, lapor Berita Harian.

 

PM
Ismail Sabri Yaakob dan delegasi Malaysia mendengar ucapan Fumio Kishida pada Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-24, melalui persidangan video, hari ini.

 

 

Perdana Menteri mengucapkan perhargaan kepada Jepun apabila sejak 1973 lagi, negara matahari terbit itu kekal sebagai rakan setia ASEAN.

 

Menurut Ismail Sabri, ASEAN berharap untuk mempertingkatkan lagi hubungan dialog antara ASEAN-Jepun pada masa hadapan.

 

"Kami menghargai sokongan Jepun dan bantuan selama ini yang telah banyak menyumbang kepada usaha pembinaan komuniti ASEAN," katanya.

 

Pada sesi sama, Perdana Menteri turut menyentuh mengenai isu keselamatan siber yang beliau fikirkan semakin penting dan mendesak apabila dunia mula menyesuaikan digitalisasi dalam segenap aspek kehidupan.

 

Dalam hal ini, katanya kedua-dua pihak harus mengukuhkan lagi kerjasama menerusi Pusat Pembangunan Kapasiti Keselamatan Siber ASEAN-Jepun.

 

"Di pihak kami, Malaysia sedang membangunkan keselamatan digital profesional dan program pembelajaran sepanjang hayat, bertujuan untuk membangunkan pembangunan kapasiti dalam keselamatan siber.

 

"Malaysia mengharapkan sokongan Jepun untuk program yang dicadangkan," katanya sambil mencadangkan Jepun menjadi tuan rumah sidang kemuncak peringatan khas di Jepun pada 2023 sebagai meraikan 50 tahun hubungan dialog. - DagangNews.com