Ismail Sabri mungkin teruskan dasar sedia ada tangani pandemik  | DagangNews Skip to main content

Ismail Sabri mungkin teruskan dasar sedia ada tangani pandemik 

Kadar vaksinasi dijangka menunjukkan momentum yang kukuh di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Gambar MalayMail
 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilihat akan meneruskan beberapa dasar di bawah pentadbiran Perdana Menteri sebelum ini bagi memastikan krisis pandemik COVID-19 dapat ditangani dengan sebaik-baiknya.

 

Ini berdasarkan kepada pengalamannya sebagai Menteri Pertahanan dan kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam kerajaan Pakatan Nasional (PN), beliau merupakan antara individu paling penting ketika negara berdepan krisis ini yang mula tercetus sejak awal tahun lalu. 

 

Meskipun menjangkakan terdapat perubahan pada pemilihan Kabinet, tetapi Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berpendapat, hala tuju kerajaan misalnya berkaitan vaksinasi dan pembukaan semula ekonomi dilihat masih utuh.

 

"Dalam hal ini, mungkin 'menteri vaksin' Khairy Jamaluddin akan kembali menerajui program ini berdasarkan rekod cemerlangnya sebelum ini. 

 

"Malah, kami juga yakin kadar vaksinasi dijangka menunjukkan momentum yang kukuh di bawah pentadbiran Ismail Sabri," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Angka vaksinasi harian semakin meningkat, dengan purata 505,000 sejak minggu lalu berbanding 467,000 minggu sebelumnya walaupun pelantikan anggota Kabinet belum lagi dibuat setakat ini. 

 

Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melepaskan jawatannya pada 16 Ogos lalu, sebelum ini yakin Malaysia mampu mencapai imuniti kelompok pada akhir Oktober. Ketika ini, 38.9% daripada penduduk sudah divaksikan sepenuhnya.

 

Pada Jumaat lalu, beliau yang berperanan sebagai 'caretaker' kepada Perdana Menteri mengumumkan beberapa kelonggaran kepada individu yang sudah menerima vaksin lengkap termasuk kebenaran dine-in

 

HLIB berpendapat, momentum ini dijangka diteruskan bagi mereka yang sudah mendapat vaksin lengkap.

 

"Dari sudut pandangan sektor saham pula, langkah ini dapat membantu pemulihan bagi kedai-kedai makanan dan minuman, pengguna dan pusat beli-belah REIT," tambahnya.

 

Bagaimanapun, menurutnya, masih terdapat risiko terhadap kelancaran pentadbiran Ismail Sabri memandangkan beliau mendapat sokongan 114 Ahli Parlimen - mewakili majoriti 4 kerusi yang agak tipis.  

 

"Namun, kami melihat kebanyakan risiko politik semakin reda dalam tempoh terdekat memandangkan banyak kebuntuan dapat diselesaikan. 

 

"Tambahan pula, dengan pembukaan semula ekonomi, sentimen pasaran juga sepatutnya kembali pulih, justeru, kami menaikkan unjuran akhir tahun KLCI kepada 1,620 berbanding 1,580 sebelum ini," katanya.

 

Sementara itu, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menyeru kerajaan baharu agar segera menyelesaikan masalah kesihatan awam dan ekonomi yang kian meruncing di Malaysia. 

 

Malah, kerajaan juga perlu meneruskan inisiatif utama kebangsaan, termasuklah Pelan Pemulihan Negara dan juga Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Tricia Yeoh berkata, walaupun ketegangan politik negara dapat ditenangkan berikutan pelantikan Perdana Menteri Ke-9, IDEAS mengingatkan bahawa perikatan di pihak kerajaan masih belum kukuh sepenuhnya. 

 

"Ini memandangkan beliau memperoleh majoriti yang tipis dan perlu mengukuhkan keyakinan pentadbiran terhadap kedudukannya," katanya. 

 

Sehubungan itu, beliau berharap, pihak kerajaan yang baharu harus meneruskan gerak kerja sedia ada. 

 

Katanya, sementara menyelesaikan krisis kesihatan awam melalui program vaksin kebangsaan, krisis ekonomi juga harus dipulihkan. 

 

"Kebelakangan ini, kedudukan ekonomi Malaysia semakin merudum, dan kestabilan politik amat diperlukan untuk memulihkan daya saing, produktiviti dan inovasi negara di peringkat antarabangsa," jelas beliau. - DagangNews.com