Ismail Sabri ucap tahniah kepada Rishi Sunak dilantik sebagai PM United Kingdom | DagangNews Skip to main content

Ismail Sabri ucap tahniah kepada Rishi Sunak dilantik sebagai PM United Kingdom

PUTRAJAYA 25 Okt - Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merakamkan setinggi-tinggi tahniah di atas pelantikan Tuan Yang Terutama Rishi Sunak sebagai Perdana Menteri United Kingdom yang baharu.

 

"Dalam kita meniti hubungan erat kedua-dua negara yang telah terjalin 65 tahun yang lalu, saya amat berbesar hati dengan pencapaian yang telah dikecapi setakat ini," kata beliau dalam hantaran di media sosial rasminya.

 

Malaysia dan UK kata Ismail Sabri, telah menikmati hubungan yang mesra dan produktif, disokong oleh kerjasama dalam pelbagai aspek serta saling menguntungkan, terutamanya dalam sektor perdagangan dan pelaburan.

 

Menurutnya, hubungan kedua-dua negara yang akrab, sejarah dan aspirasi bersama sememangnya telah membawa manfaat yang amat besar kepada rakyat kedua-dua negara.

 

"Saya berharap dapat bekerjasama rapat dengan Tuan Yang Terutama untuk meraih potensi hubungan kedua-dua negara. Saya yakin, dengan dedikasi dan kepimpinan Tuan Yang Terutama, kerjasama sedia ada ini akan terus diperkukuh.

 

"Saya juga mengambil kesempatan ini mendoakan Tuan Yang Terutama diberikan kesihatan dan kebahagiaan yang berterusan, dan buat rakyat United Kingdom, semoga akan terus menikmati keamanan, kestabilan dan kemakmuran," kata Ismail Sabri. - DagangNews.com