Isu buruh paksa FGV tidak selesai tahun ini, kata CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

Isu buruh paksa FGV tidak selesai tahun ini, kata CGS-CIMB

FGV

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 5 Okt. - Isu berkaitan penggunaan buruh paksa oleh syarikat FGV Holdings Berhad (FGV) dijangka tidak akan dapat diselesaikan penghujung tahun ini.

CGS-CIMB Research berkata, jangkaan tersebut dilihat berdasarkan kepada kekangan jumlah pekerja asing yang dimiliki syarikat berkenaan.

"Kami positif terhadap usaha FGV untuk meningkatkan amalan buruh di syarikatnya.

"Namun, kami berpendapat usaha tersebut akan memakan masa memandangkan jumlah pekerja asing yang dimilikinya seramai 15,969 terutamanya dari Indonesia dan India di samping persekitaran operasi yang mencabar," jelas CGS-CIMB Research.

Pada 1 Oktober lalu, DagangNews.com melaporkan Amerika Syarikat (AS) menghalang pengimportan minyak dan produk sawit dari FGV Holdings dan anak-anak syarikatnya dengan tuduhan menggunakan tenaga buruh paksa.

Menurut Jabatan Kastam AS, arahan sekatan itu adalah hasil penyiasatan selama setahun yang mendedahkan salah guna tenaga buruh dari segi mengekang pergerakan, ugutan, penipuan, keganasan fizikal dan seksual.

Susulan itu, FGV mengambil beberapa pendekatan dan inisiatif untuk menyelesaikan isu berkenaan seperti menyediakan Laporan Penilaian Persatuan Tenaga Buruh Saksama (FLA) bersama bukti sokongan kepada Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP).

FGV juga sedang mempertimbangkan pelantikan firma audit bebas bagi mengkaji amalan penggunaan tenaga buruh di syarikatnya.

Selain itu, syarikat berkenaan juga sedang menyusun tindakan jangka masa panjang untuk memperkukuh aspek amalan buruh seperti proses pengambilan pekerja, program latihan hak asasi manusia, kehidupan dan persekitaran pekerja, mekanisma aduan dan sebagainya.

FGV berharap dapat menyelesaikan usaha dan inisiatif berkenaan pada akhir tahun 2020.

CGS-CIMB Research turut mengekalkan saranan 'pegang' saham FGV dengan sasaran harga sesaham (TP) pada RM1.21. - DagangNews.com