Isu penipuan visa haji: Cabaran dan langkah penambahbaikan pengurusan ibadah haji di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Isu penipuan visa haji: Cabaran dan langkah penambahbaikan pengurusan ibadah haji di Malaysia

Oleh Dr. Mohamed Rashid Ab Razak

SETIAP kali menjelang musim haji akan kedengaran isu penipuan melibatkan perolehan visa haji oleh sesetengah pihak terhadap jemaah yang ingin menunaikan rukun islam kelima ini.

 

Baru-baru ini tular di media sosial mengenai 300 jemaah yang terkandas di tanah suci melibatkan penyalahgunaan visa pelancong bagi tujuan menunaikan ibadah haji yang melibatkan kos puluhan ribu ringgit bahkan ada yang mencecah ratusan ribu ringgit yang dikendalikan oleh sesetengah agensi pelancongan yang tidak bertanggungjawab.

 

Namun apa yang menarik perhatian penulis adalah perkara ini sukar untuk diatasi tanpa mengenal pasti punca utama perkara ini berlaku.

 

Menurut sumber tidak rasmi yang tersebar luas di media sosial, terdapat 5 negara di dunia yang mempunyai senarai menunggu Jemaah haji yang tertinggi di dunia iaitu Cina, United Kingdom, Singapura, Indonesia dan Malaysia.

 

Yang lebih menarik, Malaysia mengungguli kedudukan pertama yang mempunyai tempoh menunggu paling lama di dunia sehingga mencecah hampir 138 tahun.

 

 

Dr. Mohamed Rashid Ab Razak
Dr. Mohamed Rashid Ab Razak

 

 

Fakta ini disokong oleh kenyataan Pengarah Eksekutif Tabung Haji (TH) Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman pada tahun 2023 bahawa tempoh giliran menunggu umat Islam di Malaysia untuk menunaikan haji kini mencecah 148 tahun dan tahun ini pula telah mencecah 160 tahun sebagaimana yang dimaklumkan oleh Pengarah Tabung Haji Negeri Johor.

 

Manakala Indonesia yang mempunyai jumlah populasi lebih kurang 227 Juta penduduk hanya mempunyai tempoh menunggu sekitar 48 tahun.

 

Ini bermakna tempoh menunggu giliran haji di Malaysia adalah hampir 23 kali ganda lebih lama dengan nisbah penduduk muslim yang jauh lebih kecil dari Indonesia.

 

Tidak dinafikan bahawa perkara ini juga mungkin disumbangkan oleh kecekapan pihak pengelola ibadah haji di Malaysia iaitu Tabung Haji dan pihak Kerajaan dalam menguruskan hal ehwal pengurusan haji sehingga memungkinkan sebilangan besar masyarakat muslim di Malaysia dapat mendaftar giliran haji serta kesedaran yang tinggi di kalangan mereka untuk menunaikan haji di awal usia.

 

Namun perkara ini harus diteliti semula bagi meningkatkan kecekapan pengurusan giliran haji dan menutup ruang pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab daripada mengambil kesempatan terhadap jemaah yang tidak sabar menunggu giliran haji dengan mengambil ‘jalan pintas’ mengerjakan ‘haji koboi’ tanpa mengikut saluran rasmi dan sah sehingga mengabaikan aspek keselematan dan kebajikan pihak yang terbabit.

 

Antara langkah yang boleh diambil oleh pihak berkaitan adalah mempertimbangkan semula kouta haji rayuan melalui ‘saluran perdana’ yang  diluluskan kepada mahram dan pengiring dihadkan kepada yang benar-benar  layak bagi memberi ruang bagi jemaah haji kali pertama.

 

 

parafrasa

 

 

Pihak kerajaan Arab Saudi telah membenarkan jemaah wanita mengerjakan haji tanpa mahram dan pihak tabung haji juga mempunyai ramai petugas di lapangan yang sangat berpengalaman mengendalikan kebajikan  jemaah haji di tanah suci.

 

Di samping itu, pemberian subsidi haji yang bersasar kepada golongan B40 dan M40 bagi menunaikan ibadah haji perlu dikaji semula sama ada ia selari dengan konsep istita'ah yang telah digariskan Islam.

 

Menurut satu laporan akhbar, penawaran subsidi atau bantuan kewangan haji tahun 2024 oleh Tabung Haji menelan kos sebanyak RM350.1 juta meliputi 63 peratus daripada kos haji untuk golongan B40, manakala 42 peratus bagi M40 selain bantuan kewangan tambahan RM1,000 kepada jemaah haji B40.

 

Perkara ini juga pernah disuarakan oleh Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff menyarankan agar pihak kerajaan melalui TH perlu bermuzakarah dengan pelbagai pihak berkepentingan  dalam menetapkan kaedah penyelesaian terbaik berhubung ibadah haji di Tanah Suci.

 

Pihak Tabung Haji juga dicadangkan memasukkan Fiqh Aulawiyyat (Fiqh Keutamaan) dalam silibus Kursus Asas Haji bagi memberikan pendedahan awal tentang  memahami keutamaan dalam tindakan dan ibadah seterusnya memberi pencerahan tetang erti sebenar konsep istita'ah yang merangkumi kemampuan harta, kesihatan, keselamatan dan lain-lain.

 

 

parafrasa

 

 

Dengan mengambil langkah-langkah ini, diharapkan masalah penipuan visa haji dapat dikurangkan, seterusnya memastikan keselamatan dan kebajikan jemaah haji terpelihara, serta pengurusan giliran haji dapat dilakukan dengan lebih efisien dan adil seterusnya melindungi jemaah dari menjadi mangsa pihak yang tidak bertanggungjawab.

 

Ia juga dapat meneruskan momentum kecemerlangan pihak pengelola haji diketuai oleh Tabung Haji yang telah mendapat pengiktirafan dunia dengan memastikan mekanisma pemilihan dan penawaran haji yang  relevan dengan peredaran masa selari dengan penambahan jumlah penduduk Malaysia saban tahun.  - DagangNews.com

 

Dr. Mohamed Rashid Bin Ab Razak adalah Timbalan Pengarah Pusat Islamisasi merangkap Pensyarah Kanan Jabatan Undang-undang Islam Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)