Isuzu beri keutamaan kepada pendekatan norma baharu kepada pelanggan | DagangNews Skip to main content

Isuzu beri keutamaan kepada pendekatan norma baharu kepada pelanggan

Ketua Pegawai Operasi baru bagi Bahagian Kenderaan Perdagangan Ringan Isuzu Malaysia, Kenkichi Sogo


 

PETALING JAYA 12 Ogos — Pelanggan Isuzu Malaysia boleh menjangkakan pengalaman dan layanan yang lebih mesra serta selamat dalam era pandemik dan norma baru ketika ini, ketika negara sedang menuju kepada fasa pemulihan secara berperingkat seperti yang disaksikan sekarang.

 

Ketua Pegawai Operasi baru bagi Bahagian Kenderaan Perdagangan Ringan Isuzu Malaysia, Kenkichi Sogo berkata, sambutan yang diterima oleh Isuzu D-Max baru yang telah berjaya menarik perhatian dan minat pasaran dengan menyaksikan peningkatan mendadak tempahannya sejak tiga bulan lalu, sekaligus membolehkan Isuzu berada di kedudukan kedua dalam carta jualan walaupun dalam keadaan kawalan pergerakan yang dikenakan untuk keselamatan dan kesihatan semua.

 

Menurut beliau, pelancaran Isuzu D-Max terbaru dalam waktu pandemik telah memaksakan perubahan terhadap cara syarikat membawakan model baru kepada pelanggan berpotensi ketika ini.

 

"Dalam usaha untuk menyesuaikan cara kerja dengan keadaan baru ini, kami perlu sentiasa bersedia untuk beradaptasi terhadap situasi dan mencari jalan baru untuk memenuhi keperluan dan permintaan pelanggan," ujar Sogo dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Antara langkah yang telah diambil oleh Isuzu Malaysia adalah membangunkan pengalaman baru secara dalam talian, termasuk pameran augmented reality 360-darjah yang menawarkan kepada pelanggan perincian mendalam terhadap rekaan dan kelengkapan yang ada pada Isuzu D-Max serba baru sebelum mereka berkunjung ke bilik pameran.

 

Hampir semua alat bantu pembelian seperti pengira pinjaman hinggalah kepada kos penyelenggaraan tersedia secara interaktif dalam laman web pickuptruck.isuzu.net.my, membolehkan pengunjung untuk membuat pilihan berdasarkan maklumat yang tepat sebelum membuat temujanji dalam talian untuk slot pandu uji dengan kenderaan terbabit akan dibawakan kepada mereka ke lokasi pilihan yang selamat.

 

Prosedur bagi servis dan penyelenggaraan kenderaan juga telah diperbaharui bertujuan untuk meminimumkan tempoh menunggu serta memastikan aliran yang lebih lancar dan cekap terhadap jumlah kenderaan yang diterima untuk diservis dalam satu-satu masa. Pelanggan digalakkan untuk membuat temujanji servis lebih awal bersama pengedar mereka untuk mendapatkan slot yang diinginkan.

 

Dengan 500 jumlah tempahan sebulan bagi D-Max baru sejak pelancarannya walaupun telah melalui beberapa fasa perintah kawalan pergerakan (PKP), tugas untuk menyerahkan semua unit berkenaan secara selamat kepada pemilik adalah lebih penting ketika ini.

 

"Disebabkan peraturan operasi perniagaan yang lebih ketat, terutama yang melibatkan logistik sejak beberapa bulan sebelum ini, usaha utama kami selepas ini adalah untuk menyerahkan kenderaan baru terbabit dengan cara paling selamat kepada pemilik dan dalam masa seberapa cepat yang mungkin.

 

"Kami berharap semua pelanggan kekal bersabar serta mematuhi semua SOP yang telah ditetapkan bagi memastikan keselamatan dan menjamin pengalaman yang lebih menyenangkan untuk semua," tambah Sogo. Beliau menggantikan Masayuki Suzuki yang kembali ke Jepun untuk menyandang jawatan baru di sana.

 

Kenkichi Sogo, 43, tidak asing lagi di pasaran Malaysia. Beliau meluangkan masa empat tahun sebelum ini sebagai Pengurus Besar di Isuzu Malaysia yang bertanggungjawab memantau operasi Bahagian Kenderaan Perdagangan Ringan serta operasi alat ganti.

 

Merupakan lulusan dari Keio University, Sogo memulakan kerjayanya bersama Mitsubishi Corporation pada 2001 dan telah terlibat dengan perniagaan Isuzu sejak tujuh tahun lalu. Pelantikannya ke jawatan Ketua Pegawai Operasi akan memastikan pertumbuhan berterusan terhadap perniagaan Isuzu di Malaysia serta membangunkan pengalaman lepas jualan yang positif bagi semua pemilik kenderaan Isuzu. - DagangNews.com