KUALA LUMPUR 23 Feb - Isuzu Malaysia Sdn Bhd (IMSB) mengumumkan jenamanya sekali lagi mengungguli carta jualan kenderaan komersial di Malaysia pada 2022.
Ini sekaligus mengukuhkan lagi sejarah pencapaian syarikat menerusi jualan runcit keseluruhan melibatkan trak tugas ringan, sederhana dan prime mover dengan 6,546 unit.
Pencapaian ini terus mengukuhkan lagi posisi Isuzu sebagai jenama trak paling laris di Malaysia untuk 9 tahun berturut-turut dan trak tugas ringan terlaris untuk kali ke-13.
Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe berkata, pihaknya sangat gembira dan berbesar hati kerana dapat mengekalkan kedudukan teratas dalam pasaran trak tempatan yang sangat kompetitif dari tahun ke tahun.
Beliau berkata, kejayaan yang tidak disangka ini mengatasi rekod jualan sebelum ini iaitu 6,391 unit pada tahun 2015 dengan peningkatan sebanyak 155 unit atau 2.43%.
"Biarpun begitu, kami telah melakukan penambahbaikan yang signifikan dengan menawarkan rangkaian trak Isuzu GIGA generasi baharu. Ia merangkumi siri ‘C&E’ yang terdiri daripada lima model untuk pilihan pelanggan dalam segmen trak tugas berat dan prime mover.
“Trak-trak generasi baharu yang memberi penekanan terhadap aspek ketahanan, reka bentuk aerodinamik dan berprestasi tinggi untuk meningkatkan kecekapan ini telah menarik minat pelanggan kami serta terbukti menjadi penyumbang kepada perniagaan mereka.
"Ini jelas mengukuhkan lagi jenama Isuzu dan membolehkan kami merekodkan angka jualan keseluruhan yang luar biasa tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Okazoe berkata, walaupun pasaran berada dalam fasa pemulihan selepas bergelut dengan kesan negatif akibat pandemik di peringkat global, perniagaannya tetap berdaya saing dan terus berada di posisi terbaik.
Katanya, salah satu faktor utama ialah mempunyai hubungan yang ekstensif dan rapat dengan rangkaian pengedar.
"Malah, rangkaian pengedar kami adalah yang paling besar untuk satu jenama trak dengan 48 pusat jualan melibatkan semua negeri dan lokasi strategik di Malaysia demi menawarkan produk berkualiti, kepakaran teknikal dan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan,” katanya. - DagangNews.com