KUALA LUMPUR 4 Dis – Institut Keusahawanan Negara Bhd (INSKEN) membantu usahawan mikro di seluruh negara menjana peningkatan hasil jualan sebanyak RM23 juta sepanjang tahun 2024.
Ia dicapai menerusi pelbagai program bimbingan yang dianjurkan, termasuklah pelaksanaan 19 Program INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC), lima Program Bimbingan Keuntungan Menu dan empat Program INSKEN Start-Up Coaching yang disertai oleh 815 usahawan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, program bimbingan INSKEN juga berjaya mewujudkan 468 pekerjaan baharu, manakala sebanyak 60 usahawan bertukar status perniagaan daripada mikro kepada kecil serta meningkatkan 10 peratus purata margin keuntungan.
"Saya amat yakin kejayaan usahawan-usahawan INSKEN ini akan memberi inspirasi dan motivasi kepada semua usahawan atau bakal usahawan yang lain," katanya pada Majlis Graduasi Program Bimbingan INSKEN 2024, di Hotel Tenera Bangi, semalam.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud, Pengerusi INSKEN, Mustaffa Kamil Ayub, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Haji Zamri Salleh dan Puan Noor Afifah Abdul Razak.
Pada majlis itu, sebanyak 294 usahawan yang mengikuti Program IBBC, Program Bimbingan Keuntungan Menu dan Program INSKEN Start-Up Coaching masing-masing menerima sijil tamat kursus.
Ewon berkata, melalui program tersebut, usahawan berjaya meningkatkan hasil jualan sebanyak RM9.3 juta, mewujudkan 130 peluang pekerjaan baharu, dengan 23 perniagaan bertukar status mikro kepada kecil dan meningkatkan skor diagnostik sebanyak 245%.
Tambah beliau, kementerian dan agensi-agensi di bawahnya termasuk INSKEN, akan memanfaatkan sebaiknya peruntukan dalam Belanjawan 2025 untuk melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan kapasiti usahawan.
Beliau turut berharap agar para usahawan yang menerima pembiayaan daripada agensi-agensi kredit di bawah kementerian dapat membayar balik pinjaman.
"Pembayaran semula ini akan melahirkan ramai usahawan baharu yang juga memerlukan modal pusingan atau modal permulaan daripada agensi-agensi pembiayaan," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Muhd Firdaus Azharuddin berkata, pihaknya sentiasa mengutamakan keberhasilan program agar dapat memberi kesan positif kepada usahawan mikro khususnya.
"Khidmat bantuan berbentuk program latihan dan bimbingan keusahawanan juga akan sentiasa berada di tahap optimum," katanya. - DagangNews.com