Jabatan Peguam Negara perlu kaji cadangan pindaan bankrap - Wan Junaidi | DagangNews Skip to main content

Jabatan Peguam Negara perlu kaji cadangan pindaan bankrap - Wan Junaidi

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Bahagian Hal Ehwal Undang-Udang (BHEUU) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) perlu mengkaji cadangan pindaan berkaitan kebangkrapan Jabatan Insolvensi Malaysia (Mdl) dengan lebih terperinci terutamanya mengenai implikasinya kepada orang ramai.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata demikian susulan cadangan Mdl semalam berhubung pindaan dilaksanakan terhadap empat peruntukan bagi melancarkan proses pentadbiran estet kebankrapan, bagi penambahbaikan undang-undang insolvensi.

 

Beliau berkata, beberapa libat urus dicadangkan dengan pemegang taruh khususnya Kementerian Kewangan, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Belia dan Sukan dan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

 

Jelasnya, libat urus itu juga meliputi kementerian yang bertanggungjawab untuk mengawal selia syarikat termasuk perusahaan kecil dan sederhana serta usahawan dalam kategori mikro sebelum memuktamadkan cadangan dan dibawa ke Jemaah Menteri melalui satu Memorandum Jemaah Menteri (MJM).

 

"Empat peruntukan bagi melancarkan proses pentadbiran estet kebankrapan, pertama, penambahbaikan kepada peruntukan Seksyen 33C Akta 360 berkenaan pelepasan automatik bagi membantu lebih ramai bankrap yang dapat keluar daripada kebankrapan selepas tempoh tiga tahun.

 

"Kedua, menyasarkan untuk menetapkan had masa pemfailan Borang Bukti Hutang oleh pemiutang untuk mempercepatkan proses pelepasan kebankrapan atau pembatalan perintah kebankrapan.

 

"Ketiga, Memansuhkan Mesyuarat Pertama Pemiutang. Cadangan untuk mesyuarat pemiutang hanya perlu diadakan berdasarkan keperluan dan permintaan pemiutang bagi mengelakkan kelengahan dan perancangan seterusnya dapat dibuat untuk membantu bankrap keluar daripada kebankrapan.

 

 

wan junaidi
Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar

 

 

"Keempat, untuk menambah penggunaan baharu berkenaan teknologi komunikasi jarak jauh dalam urusan pentadbiran kebankrapan di mana ia dapat membantu bankrap berurusan dengan MdI secara dalam talian dan digital serta memudahkan pentadbiran kebankrapan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut Wan Junaidi, fokus utama Mdl adalah untuk mempercepatkan proses pentadbiran kebankrapan dan membantu bankrap untuk keluar daripada kebankrapan dengan segera.

 

Sementara itu, beliau berkata, susulan ambang keberhutangan ditingkatkan kepada RM100,000, statistik kes kebankrapan yang didaftarkan menunjukkan pola penurunan yang mana 12,051 kes bagi tahun 2019, 8,351 kes bagi tahun 2020, 6,554 kes bagi tahun 2021 dan 3,604 kes bagi tahun 2022 setakat bulan Julai. 

 

“Dari sudut peratusan pula, pengurangan berbanding tahun sebelumnya direkodkan sebanyak 26.88% pada tahun 2019, 30.70% pada tahun 2020 dan 21.52% pada tahun 2021.

 

“Pola penurunan ini turut disebabkan oleh beberapa faktor lain termasuk inisiatif kerajaan melalui pemberian moratorium dan bantuan bersasar bank yang mana pihak pemberi pinjaman (pemiutang) dan pihak peminjam boleh berbincang bagi membuat penyusunan semula hutang,” katanya.

 

Katanya, meskipun terdapat penurunan kes kebankrapan pada ketika ini, MdI akan sentiasa meneliti jumlah serta punca kes kebankrapan yang difailkan pihak pemiutang serta menambah baik Akta 360 bagi menjadikan pentadbiran kes kebankrapan lebih efisien. - DagangNews.com