Jalinan kerjasama dengan JDMas dijangka lonjak jualan eskport produk Pharmaniaga | DagangNews Skip to main content

Jalinan kerjasama dengan JDMas dijangka lonjak jualan eskport produk Pharmaniaga

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Nov - Kerjasama Pharmaniaga Berhad bersama JDMas, rakan kongsi rasmi JD.com yang merupakan peruncit dalam talian terbesar di China dan ketiga di dunia akan membantu meningkatkan jualan eksport dan produk penjagaan kesihatan pengguna kumpulan itu. 

 

CGS-CIMB Research berkata, walaupun rancangan untuk memasuki pasaran China itu merupakan satu kejutan namun ia selari dengan strategi perkembangan kumpulan itu untuk mengkuhkan kehadirannya di pasaran antarabangsa.

 

Kumpulan itu menjangkakan perkembangan hasil antara 1.0 hingga 1.5x untuk produk utamanya pada FY23 (tahun pertama) walaupun pada asas rendah kurang daripada RM50 juta pada FY22.

 

"Dengan mengandaikan margin keuntungan bersih 8% (sedikit lebih rendah daripada purata margin segmen pembuatan kumpulan sebanyak 13% pada FY16-20, kerana segmen produk di kaunter melibatkan kos pemasaran yang lebih tinggi berbanding produk beretika).

 

"Kami menganggarkan c.RM11 juta sumbangan untung bersih tambahan setiap tahun daripada FY25 atau 17-21% daripada unjuran keuntungan bersih teras FY22-24," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kerjasama antara Pharmaniaga dan JDMas merupakan sebahagian daripada strategi kumpulan untuk memasuki pasaran China, terutamanya dalam perniagaan pengguna dan kesihatan.

 

Kumpulan itu menyasarkan untuk membina perkongsian perniagaan strategik yang kukuh dan mampan yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

 

Peluasan ke pasaran antarabangsa sentiasa menjadi salah satu matlamat perniagaan strategik kumpulan.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' terhadap saham Pharmaniaga dengan harga sasaran 58 sen.

 

"Kumpulan itu akan berdepan pelbagai risiko terhadap rancangan itu termasuk permintaan boleh menjadi lebih tinggi atau lebih rendah bagi produk penjagaan kesihatan selain kesan kos input, logistik serta pengedaran di sana," katanya. - DagangNews.com