Jalinan kerjasama Grayscale Technologies, Accubits Technologies kukuhkan penawaran perkhidmatan ICT di rantau Asia | DagangNews Skip to main content

Jalinan kerjasama Grayscale Technologies, Accubits Technologies kukuhkan penawaran perkhidmatan ICT di rantau Asia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Jan - Grayscale Technologies, anak syarikat milik penuh TechnoDex Berhad memterai jalinan kerjasama dengan Accubits Technologies Private Limited bagi mengukuhkan penawaran perkhidmatan ICT bagi pelaksanaan inisiatif Industri 4.0 di rantau Asia.

 

Pengarah TechnoDex Berhad, Tan Sze Chong berkata, meskipun pelbagai sektor sedang mengalami cabaran akibat COVID-19 namun syarikat itu tetap menyaksikan momentum pertumbahan pelanggan yang kukuh sejak beberapa bulan lalu.

 

“Kami memahami bahawa setiap pelanggan adalah unik dengan matlamat perniagaan yang berbeza serta memerlukan penyelesaian mengikut keperluan tersendiri. 

 

"Atas faktor tersebut, kerjasama dengan Accubits adalah penting kerana kami mahu pelanggan dilengkapi dengan produk dan perkhidmatan yang mampu membantu mereka mencapai amalan automasi yang tinggi bagi melaksanakan operasi perniagaan cekap," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) kedua-dua syarikat berlangsung di Pavilion Malaysia, Ekspo Dubai di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) semalam dan dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Mahadhir Aziz serta Pengerusi TechnoDex, Tan Sri Tengku Abdul Hamid Thani.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Strategi Accubits Technologies, Shameer Thaha berkata, menerusi jalinan kerjasama itu, kedua-dua pihak mampu menghasilkan perisian canggih serta penyelesaian terbaik kepada pelanggan terutama bagi pasaran Asia.

 

"Saya melihat kerjasama ini juga akan menjadi batu loncatan untuk penghasilan lebih banyak inisiatif hebat pada masa hadapan.”

 

Sebagai sebahagian daripada perjanjian tersebut, produk dan teknologi komprehensif Accubits akan diserapkan ke dalam portfolio TechnoDex melalui Grayscale Technologies bagi mengukuhkan barisan produk sedia ada. 

 

Antara produk yang ditawarkan termasuk: 

1. Emotyx - Sebuah visi komputer dan platform kecerdasan buatan (AI) yang membolehkan analisis video masa nyata dilakukan untuk pelbagai analisis perniagaan seperti risikan orang ramai, risikan kenderaan, pengesanan anomali dan banyak lagi;
   
 2. Accucerts - Penyelesaian untuk membantu perniagaan dan institusi akademik menjana sijil melalui teknologi ‘Blockchain’ yang kalis gangguan dan tidak berubah;
   
 3. REIWAS - Sistem Pengurusan Perubahan berkuasa AI yang membolehkan syarikat mengautomasikan proses pemantauan peraturan. Menggunakan AI lanjutan, platform juga boleh mengenalpasti dan merekodkan perubahan yang dibuat agar mematuhi standard pematuhan laman web yang terdapat dalam pelbagai industri;
   
 4. Suite Coinfactory - Ekosistem kripto yang menawarkan pelbagai produk, penyelesaian dan platform 'label putih'. Produk-produk di bawah suit ini adalah seperti berikut:
        a. Platform ICO & STO;
        b. Pertukaran Kripto;
        c. Pasaran NFT;
        d. Dompet Kripto; dan
    
5. AMI - Alat perhubungan berkuasa AI yang mudah digunakan.

 

Produk dan perkhidmatan tersebut kemudiannya akan ditawarkan kepada para pelanggan TechnoDex di Singapura, Malaysia, Thailand, Vietnam, Filipina dan Indonesia. - DagangNews.com