Jangan bimbang, bekalan ikan negara cukup sepanjang 'total lockdown' | DagangNews Skip to main content

Jangan bimbang, bekalan ikan negara cukup sepanjang 'total lockdown'

 Sesi lawatan kerja Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi ke Kompleks LKIM Kuala Selangor dan Pasar Nelayan Sungai Yu.

Sesi lawatan kerja Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi ke Kompleks LKIM Kuala Selangor dan Pasar Nelayan Sungai Yu.
 

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 14 Jun - Masyarakat tidak perlu bimbang terhadap stok semasa bekalan ikan negara sepanjang tempoh PKP 'total lockdown'.

 

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, stok semasa bekalan ikan ketika ini adalah sekitar 185,000 tan metrik sebulan dan dijangka mencukupi sepanjang tempoh berkenaan.

 

Menurutnya juga, jumlah stok itu adalah lebih tinggi berbanding 155,000 tan metrik sebulan keperluan bekalan ikan rakyat di negara ini.

 

"Para pengguna adalah  dinasihatkan agar tidak perlu bimbang atau membuat pembelian panik kerana bekalan ikan adalah sentiasa mencukupi.

 

"Selain itu, para pengguna juga boleh mendapatkan bekalan ikan di 89 buah Pasar Nelayan seliaan LKIM (Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia) yang turut mempunyai 33 buah Pusat Pengumpulan dan Pengedaran Ikan (CCDC) di seluruh negara," jelas beliau.

 

Beliau berkata demikian dalam sesi lawatan kerja   ke Kompleks LKIM Kuala Selangor dan Pasar Nelayan Sungai Yu bagi melihat sendiri kelangsungan bekalan makanan dan operasi rantaian pemasaran ikan di kawasan berkenaan, semalam.

 

Turut hadir, Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar; Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Datuk Syed Abu Hussin Syed Abdul Fasal dan Ketua Pengarah, Haji Yussoff bin Othman serta Pengarah Negeri Selangor, Kusairi Hussin.

 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, LKIM telah memainkan peranan yang penting dan berkesan sebagai agensi yang dipertanggungjawabkan untuk memperbaiki kedudukan sosio-ekonomi nelayan.

 

Peranan tersebut adalah dengan penumpuan kepada peningkatan pendapatan dan memajukan perusahaan perikanan negara serta memastikan bekalan ikan mencukupi diseluruh negara terutama sewaktu pelaksanaan tempoh “total lockdown”.

 

"Saya turut menasihatkan para nelayan dan pengunjung di pasar-pasar nelayan untuk kekal mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) selain terus mengamalkan norma baharu bagi membendung dan menghapuskan penularan pandemik COVID-19," jelas beliau lagi. - DagangNews.com