Jangkaan pengangguran 2021 kekal 4.3% - Kenanga | DagangNews Skip to main content

Jangkaan pengangguran 2021 kekal 4.3% - Kenanga

Pengangguran

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 10 Jun - Jangkaan kadar pengangguran negara pada 2021 dikekalkan sebanyak 4.3%.

 

Kadar berkenaan adalah lebih rendah dengan peratusan kadar pengangguran pada 2020 iaitu 4.5%.

 

Kenanga Research berkata, pasaran buruh negara dijangka terus mengalami tekanan dalam tempoh terdekat susulan kes COVID-19 yang melonjak serta pelaksanaan semula PKP 3.0 di seluruh negeri bermula 12 Mei baru-baru ini.

 

Situasi berkenaan disusuli dengan PKP penuh atau 'lockdown' yang dikuatkuasakan sehingga 14 Jun 2021.

 

"Bagaimanapun, kesannya dijangka tidak seteruk pelaksanaan PKP 1.0 kerana lebih banyak sektor dibenarkan beroperasi selain sokongan berterusan daripada inisiatif kerajaan.

 

"Ia dapat dicerminkan melalui data terbaharu MyFutureJobs kerana jumlah individu kehilangan pekerjaan (LOE) menurun kepada 3.724 pada Mei berbanding 4,963 pada April meskipun kes jangkitan COVID-19 melonjak," jelas Kenanga Research.

 

Statistik Utama Tenaga Kerja Malaysia yang dikeluarkan jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) semalam menunjukkan kadar pengangguran negara terus menurun 0.1% mata peratusan kepada 4.6% pada April 2021.

 

Baca: Kadar pengangguran terus menyusut kepada 4.6% 

 

Kadar berkenaan susut berbanding 4.7% pada Mac sebelumnya.

 

Dalam pada itu, bilangan individu tidak bekerja menyaksikan penurunan bagi bulan ketiga berturut-turut sebanyak 1.4% sekali gus mengurangkan jumlah pengangguran kepada 742.7 ribu orang. 


Bagi pasaran buruh negara-negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), kadar pengangguran di negara berkenaan berkurangan pada Mei iaitu sebanyak 5.8% berbanding 6.1% pada April.

 

Jumlah tersebut menjadikan kadar pengangguran terendah di negara berkenaan sejak Mac 2020 kerana berlakunya penambahan pekerjaan sebanyak 559,000 daripada golongan majikan. - DagangNews.com