Jawatan dalam sektor ekonomi meningkat 2.6% kepada 8.90 juta pada suku ketiga 2023 – DOSM | DagangNews Skip to main content

Jawatan dalam sektor ekonomi meningkat 2.6% kepada 8.90 juta pada suku ketiga 2023 – DOSM

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 10 Nov - Bilangan jawatan dalam sektor ekonomi meningkat 2.6% kepada 8.90 juta pada suku ketiga 2023 berbanding 8.68 juta dalam tempoh sama tahun lalu, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM)

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata permintaan buruh Malaysia terus menunjukkan trend positif pada suku tahun ketiga 2023 dengan pertambahan jawatan sebanyak 227,100 jawatan.

 

Beliau berkata peningkatan ini menunjukkan kedudukan ekonomi dan prestasi permintaan buruh yang memberangsangkan sejajar dengan peningkatan berterusan aktiviti ekonomi dan sosial semasa.

 

Sehubungan itu, katanya, bilangan jawatan diisi juga mencatatkan peningkatan sebanyak 2.7% dengan merekodkan 8.71 juta jawatan pada suku ketiga 2023.

 

“Bagaimanapun, peluang pekerjaan dalam ekonomi yang ditunjukkan oleh bilangan kekosongan merekodkan pertumbuhan negatif, menurun 0.2% kepada 190,900 kekosongan jawatan berbanding 191,300 dalam suku ketiga 2022.

 

“Dalam pada itu, kadar jawatan diisi meningkat secara marginal dengan 0.1 mata peratus kepada 97.9% selepas mencatatkan 97.8% bagi tujuh suku berturut-turut, manakala kadar kekosongan jawatan bagi suku tahun ini adalah 2.1%,” ujar beliau mengulas laporan Statistik Guna Tenaga Suku Ketiga 2023.

 

Mengulas lanjut situasi jawatan diisi pada suku ketiga 2023, Mohd Uzir berkata analisis pertumbuhan tahun ke tahun bagi jawatan diisi mengikut sektor ekonomi menunjukkan semua sektor kekal stabil dengan kadar pertumbuhan positif, di mana sektor pertanian mencatatkan pertumbuhan tertinggi pada kadar4.9%, diikuti pembuatan (3.2%) serta perlombongan dan pengkuarian (3%).

 

 

dosm

 

 

Dari segi komposisi, beliau berkata sejumlah 4.58 juta jawatan merangkumi 52.5% daripada jumlah jawatan diisi tertumpu di sektor perkhidmatan, diikuti pembuatan (27.1%; 2.36 juta) dan pembinaan (14.2%; 1.24 juta).

 

“Mengikut kategori kemahiran, jawatan diisi pada suku tahun ini sebahagian besarnya adalah dalam kategori separuh mahir merangkumi 62. % atau 5.46 juta jawatan, diikuti mahir dengan 25% (2.17 juta) dan berkemahiran rendah sebanyak 12.4% (1.08 juta),” katanya.

 

Berdasarkan pecahan aktiviti ekonomi, Mohd Uzir kata sektor pembuatan mendominasi dengan 107,900 kekosongan jawatan (56.5%), terutamanya dalam subsektor produk elektrik, elektronik dan optikal (33,800) dan petroleum, kimia, getah, dan plastik (19,700).

 

Seterusnya, sektor Pertanian di tempat kedua dengan 30,500 kekosongan jawatan (16%), diikuti perkhidmatan dengan 26,100 kekosongan jawatan (13.6%) khususnya dalam subsektor kewangan, insurans, hartanah dan perkhidmatan perniagaan (10,300).

 

Mohd Uzir berkata terdapat lebih banyak jawatan diwujudkan pada suku ini, mencatatkan sejumlah 32,000 jawatan baharu bagi memenuhi keperluan industri memandangkan ekonomi Malaysia kini sedang beralih kepada fasa pemulihan yang lebih kukuh.

 

Secara keseluruhan, Mohd Uzir berkata prestasi keseluruhan permintaan buruh pada suku ketiga 2023 kekal stabil dan dijangka mengalami pertumbuhan sederhana pada bulan-bulan akan datang dengan mengambil kira pelbagai cabaran dalam ekonomi.

 

“Bagaimanapun, dengan pelaksanaan Naratif Ekonomi Madani oleh kementerian dan agensi kerajaan, diharapkan ekonomi Malaysia dapat mengekalkan momentum positif dan lebih berdaya tahan, sekali gus berdepan dengan prospek ekonomi yang positif pada tahun-tahun akan datang,” katanya.  - DagangNews.com