Jawatan di sektor ekonomi berkurang 0.4% pada 2Q21 | DagangNews Skip to main content

Jawatan di sektor ekonomi berkurang 0.4% pada 2Q21

.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Jumlah jawatan di sektor ekonomi menyaksikan pengurangan sebanyak 0.4% kepada 8.35 juta pada suku kedua tahun 2021 (2Q21).

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, jumlah yang dicatatkan itu berkurang 0.4% berbanding 8.38 juta yang direkodkan pada suku sama tahun 2020.

 

Jelas beliau, perbandingn dengan suku sebelumnya, jumlah jawatan terus menurun sebanyak 0.9% berbanding -0.4% pada suku pertama 2021, menunjukkan momentum pemulihan yang tidak menentu dalam permintaan buruh berikutan impak krisis kesihatan yang berpanjangan dan langkah pencegahan yang dilaksanakan sejak Mac 2020.

 

"Dengan peningkatan kes harian baharu COVID-19 pada suku tahun ini, langkah pencegahan yang lebih ketat telah dilaksanakan mulai pertengahan Mei telah mengehadkan waktu operasi perniagaan dan hanya perkhidmatan penting dibenarkan beroperasi.

 

"Hal ini seterusnya digambarkan oleh penurunan sebanyak 0.5% jawatan diisi yang merekodkan 8.17 juta jawatan pada suku kedua 2021.

 

"Pada suku tahun ini, bilangan kekosongan jawatan di sektor ekonomi adalah sebanyak 178,000, meningkat 5.0% disebabkan oleh asas bilangan yang rendah direkodkan pada suku kedua 2020 sebanyak 169,500," jelas beliau. 

 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, hampir semua sektor merekodkan trend menurun kecuali sektor pembuatan yang mencatatkan peningkatan 0.9% (Q1 2021: -0.1%) dengan mencatatkan sebanyak 2.16 juta jawatan.

 

Katannya, lebih separuh daripada jawatan diisi tertumpu di sektor perkhidmatan (52.4%), diikuti oleh pembuatan (26.4%) dan pembinaan (14.9%).

 

Selebihnya iaitu 6.3% adalah di sektor pertanian dan perlombongan dan pengkuarian.

 

"Dari segi kategori kemahiran pula, pengisian jawatan bagi kedua-dua kategori separuh mahir (-0.4%) dan berkemahiran rendah (-2.0%) telah menurun manakala kategori mahir (0.1%) meningkat secara marginal berbanding Q2 2020.

 

"Melihat kepada komposisi mengikut kategori kemahiran pula, lebih separuh daripadanya adalah kategori separuh mahir dengan peratus sumbangan 62.4% (5.1 juta), manakala kategori mahir merangkumi 24.7% (2.0 juta)," ujar beliau.

 

Secara keseluruhannya, beliau memberitahu, pemintaan buruh di sektor ekonomi pada suku ini masih kekal dengan trend menurun berikutan operasi perniagaan belum pulih sepenuhnya selaras dengan situasi semasa krisis kesihatan awam.

 

Namun, dengan pakej rangsangan ekonomi dan inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan akan membantu meringankan babanan perniagaan dan seterusnya mengekalkan guna tenaga dalam ekonomi. - DagangNews.com