KUALA LUMPUR 3 Sept - Kumpulan Johor Corporation (JCorp) melantik Najmie Noordin sebagai Ketua Pegawai Pembelajaran (CLO) pertamanya.
Menurut JCorp, jawatan CLO diperkenalkan, menggariskan perjalanan transformasi Kumpulan dalam memupuk budaya inovasi dan memenuhi keperluan yang berkembang dalam pembelajaran dan pembangunan korporat (P&P) ke arah menjadi sebuah organisasi eksponen.
Sebelum menyertai JCorp, Najmie berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (Kumpulan) di Cosmopoint Sdn. Bhd, di mana beliau juga memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Operasi (Kumpulan).
Menurut kenyataan hari ini, JCorp berkata, kepakaran beliau merangkumi pengurusan, perancangan jualan, penjenamaan dan pemasaran.
Najmie memiliki MBA dari University of Manchester dan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang (Kepujian) dari Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Beliau juga membawa pengalaman yang luas dalam kedua-dua pembelajaran dan pembangunan serta kepimpinan strategik ke jawatan baharunya, di mana beliau akan menyelia Bahagian Pembelajaran Kumpulan.
Bahagian tersebut baru-baru ini telah disusun semula untuk meningkatkan keupayaan berasaskan pengetahuan dalaman Kumpulan dan menyumbang secara luaran melalui pelbagai platform perkongsian pengetahuan.
JCorp berkata, bahagian itu juga menampilkan tiga penegak utama iaitu akademi JCorp (JCA), pusat pembangunan kemahiran Johor (JSkills) dan CEREBRUM, kumpulan pemikir dan inovatif JCorp.
"Akademi JCorp bersedia untuk memberi tumpuan bagi meningkatkan kemahiran teknikal, tingkah laku dan kepimpinan di seluruh organisasi.
"JSkills, sebelum ini dikenali sebagai pusat pembangunan kemahiran Johor, sedang dinaiktarafkan bagi memenuhi permintaan industri dengan lebih baik.
"Sementara itu, CEREBRUM komited untuk memupuk wacana intelektual dan memacu penyelesaian yang inovatif," ujar JCorp.- DagangNews.com