Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia jadi platform perjelas inisiatif kerajaan bantu rakyat  | DagangNews Skip to main content

Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia jadi platform perjelas inisiatif kerajaan bantu rakyat 

MyFutureJobs kelolaan PERKESO merupakan inisiatif kerajaan pada Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia yang memberi penekanan pada jaminan pekerjaan.
Oleh ZAKI SALLEH 

PASIR SALAK 3 Julai - Isu kenaikan harga barang dan peningkatan kos sara hidup menjadi agenda utama kerajaan untuk memastikan Keluarga Malaysia tidak diabaikan sama sekali khususnya golongan luar bandar.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberikan jaminan tersebut semasa berucap di hadapan warga Pasir Salak di pentas terbuka pada Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Litar Dato' Sagor, Kampung Gajah.

 

Menurut beliau, kerajaan sebagai contoh meneruskan subsidi ayam kerana kerajaan ingin memastikan harga ayam tidak naik mendadak dan kekalkan pada harga RM9.40 dengan  subsidi sebanyak RM1.20.

 

"Tapi pembangkang heboh kata kerajaan  cuma beri RM100. Saya nak maklumkan pada tuan-tuan dan puan-puan, dengan naiknya RM500 Bantuan Keluarga Malaysia (BKM), rakyat kelompok B40 ini setahun mereka boleh dapat BKM RM2,600.

 

"Tak pernah berlaku dalam sejarah kerajaan beri lebih daripada RM2,000. Kita beri RM2,600. Sekiranya tak selesai dan harga barang naik lagi, kita akan tambah pada Fasa 3, Fasa 4," ujar beliau.

 

 

AKM
Warga Pasir Salak tekun mendengar ucapan Perdana Menteri yang memberi jaminan tentang inisiatif kerajaan membantu menangani isu kenaikan sara hidup pada Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Litar Dato' Sagor, Kampung Gajah.

 

 

Tegas Perdana Menteri lagi, kemungkinan bantuan BKM akan ditambah demi kepentingan rakyat dan itu yang kerajaan akan lakukan.

 

"Jadi saya kata, jangan dengar cakap pembangkang . Saya tahu Pasir Salak ini kubu kuat UMNO, Barisan Nasional. Tak terpengaruh dengan cerita-cerita karut pembangkang," jelas beliau.

 

 

Suhaisma Kamaruddin
Suhaisma Kamaruddin

 

 

Sementara itu, bagi seorang peniaga, Suhaisma Kamaruddin, 42, ucapan Perdana Menteri itu memberi kelegaan kepada rakyat khususnya penduduk negeri Perak yang sememangnya terkesan dengan kenaikan harga barang.

 

Katanya, dia yang mengusahakan perniagaan kek terpaksa menanggung kenaikan kos sehingga 30 peratus disebabkan harga bahan mentah meningkat.

 

Kakitangan swasta, Salina Mohamed Suhaimi, 45, pula berharap kerajaan dapat menyarankan kepada para majikan untuk menaikkan gaji kakitangan pada jumlah yang setimpal.

 

"Usaha kerajaan itu sangat saya puji, tapi sekiranya para majikan swasta dapat menaikkan sedikit gaji kakitangan lebih baik kerana kos sara hidup berbeza," ujarnya.

 

 

Salina Mohamed Suhaimi
Salina Mohamed Suhaimi

 

 

Dalam pada itu, Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia yang memberi penekanan pada jaminan pekerjaan mencapai matlamat apabila lebih 300 golongan pencari pekerjaan mendaftar menerusi MyFutureJobs kelolaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

 

Pengurus Kes Pejabat Perkeso Negeri Perak, Ain Farhanim Azizan memberitahu, daripada jumlah tersebut lebih 200 pemohon telah ditemuduga untuk penempatan kerja.

 

"Sebanyak 10 majikan terlibat yang menawarkan  lebih 4,000  kekosongan pekerjaan meliputi bidang kemahiran dan bukan kemahiran," ujarnya. - DagangNews.com