Jenama Toyota, Lexus kukuh dengan jualan 8,486 unit pada November 2021 | DagangNews Skip to main content

Jenama Toyota, Lexus kukuh dengan jualan 8,486 unit pada November 2021


SHAH ALAM 7 Dis – Jualan Toyota dan Lexus kekal kukuh dengan 8,486 unit yang terjual di seluruh negara pada November 2021, terdiri daripada 6,620 kereta penumpang dan 1,866 kenderaan komersial (termasuk trak pikap).

 

Bagi tempoh Januari hingga November, jualan keseluruhan bagi jenama Toyota dan Lexus mencapai angka 63,105 unit, iaitu 26% lebih tinggi berbanding tempoh sama bagi tahun lalu, di mana sebanyak 50,074 unit terjual.

 

Untuk model kereta penumpang, Vios kekal menjadi model Toyota paling laris dengan menyumbang kepada 33% daripada jumlah jualan, sementara Hilux kekal sebagai trak pikap paling laris di Malaysia sejak 2005.

 

Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K. berkata, untuk bulan terakhir tahun ini, syarikat memberikan tawaran hebat dan menerusi promosi “Now Is The Time”, penjimatan diberi sehingga RM5,500 untuk model terpilih.

 

Selain itu kata beliau, kerajaan meneruskan dasar pengecualian cukai jualan yang akan menambah lagi penjimatan kepada pelanggan.

 

Menurutnya, persediaan juga sedang dimuktamadkan untuk acara utama — pelancaran kereta hibrid elektrik pertama yang dipasang dalam negara — dalam masa terdekat.


 

hilux

 


Model Toyota Corolla Cross Hibrid yang baru kini dalam peringkat pra-pengeluaran di ASSB, kilang pemasangan UMW Toyota Motor di Bukit Raja, Selangor.

 

Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama berkata, sejak syarikat membuka tempahan untuk Corolla Cross Hybrid, maklum balas yang diterima adalah baik dan pihaknya gembira melihat ramai rakyat Malaysia berhasrat untuk beralih ke Teknologi Kenderaan Hibrid Elektrik.

 

Menurutnya, Toyota telah mengeluarkan kenderaan hibrid elektrik sejak akhir 1990an dan sentiasa menambah baik serta memajukan teknologi agar rakyat Malaysia menerima manfaat hasil daripada eksperimen yang panjang ini.

 

“Kami sedar ramai pelanggan teruja untuk menerima Corolla Cross Hybrid mereka dan kami meminta anda semua bersabar.

 

‘’Ada banyak proses kualiti yang perlu dilaksanakan ASSB bagi menjamin kereta yang diserahkan memiliki piawaian tertinggi dalam semua aspek. Saya juga ingin katakan yang sebaik saja kereta diserahkan, pemiliknya yang baru pasti akan mendapat pengalaman pemilikan dengan piawaian tertinggi,” kata Takeyama lagi.


 

cross

 


Harga Corolla Cross Hybrid baru dijangka bermula dari RM137,000 (tidak termasuk insurans) dan dengan waranti kilang 5 tahun/tanpa had perjalanan.

 

Selain itu, untuk memberi kelegaan, ada lagi jaminan 8 tahun/tanpa had perjalanan untuk bateri, pengubah (converter) dan Unit Kawalan Pengurusan Kuasa.

 

Pelanggan juga boleh melanjutkan waranti selama dua tahun lagi, seterusnya menjadikan tempoh waranti selama 10 tahun. Ini merupakan kali pertama waranti sebegini disediakan dalam industri tempatan.

 

Tempahan boleh dibuat melalui mana-mana pengedar sah Toyota atau pusat pameran UMW Toyota Motor di seluruh negara. – DagangNews.com