Johor, Terengganu beralih ke Fasa 4 mulai 25 Oktober 2021, kata PM | DagangNews Skip to main content

Johor, Terengganu beralih ke Fasa 4 mulai 25 Oktober 2021, kata PM

KUALA LUMPUR 22 Okt - Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 hari ini bersetuju membenarkan Johor dan Terengganu beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), bermula 25 Oktober.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata peralihan fasa itu mengambil kira penilaian risiko semasa yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

 

"Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi negeri-negeri yang memasuki Fasa 4 adalah sama dengan sebelum ini.

 

"Keterangan SOP terkini akan dikemas kini oleh MKN di laman web rasmi www.mkn.gov.my," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Peralihan fasa bagi dua negeri itu menjadikan sembilan negeri sudah berada dalam Fasa 4 PPN, manakala tujuh lagi negeri masih berada dalam Fasa 3.

 

Perdana Menteri turut mengumumkan kemudahan vaksinasi lengkap untuk golongan dewasa ketika ini turut diperluaskan kepada golongan remaja berumur 12 hingga 17 tahun yang melengkapkan dos pelalian mereka.

 

Ismail Sabri berkata, perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 hari ini.

 

Katanya, ini bermakna syarat vaksinasi lengkap bagi golongan remaja akan dinyatakan dalam semua Prosedur Operasi Standard (SOP).

 

"Bagaimanapun, ia tidak akan dilaksanakan serta merta. Kerajaan akan selaraskan kemudahan berkaitan dan memberi golongan remaja tempoh penangguhan selama 3 minggu atau sehingga pertengahan bulan November.

 

"Tempoh ini adalah bagi memastikan kira-kira 80% remaja yang menerima dos pertama ketika ini, selesai divaksin lengkap. - DagangNews.com