JPJ lanjut tempoh diskaun bayaran saman hingga 31 Disember | DagangNews Skip to main content

JPJ lanjut tempoh diskaun bayaran saman hingga 31 Disember

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Dis - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melanjutkan masa bagi tawaran pengurangan kadar bayaran saman sebanyak 80% sehingga 31 Disember ini.

 

JPJ dalam satu kenyataan berkata, lanjutan tempoh itu berikutan sambutan menggalakkan orang ramai terhadap tawaran diskaun 80 peratus saman sempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia.

 

JPJ merekodkan kutipan bayaran saman RM4,126,938 melalui 81,146 transaksi urus niaga pembayaran saman dalam tempoh 9 Disember lalu hingga semalam.

 

“Urus niaga melibatkan 68,953 transaksi melibatkan saluran kaunter dan Mobile JPJ manakala selebihnya iaitu 1,080 transaksi di gerai pembayaran dan 11,113 transaksi (dalam talian)," menurut kenyataan itu.

 

JPJ berkata, pengurangan pembayaran saman itu sah kepada semua Notis Saman JPJ yang boleh dikompaun kecuali bagi kes-kes yang masih dalam sebutan pihak mahkamah termasuk yang berstatus waran tangkap dan perbicaraan.

 

BACA JUGA: PDRM lanjut tempoh diskaun bayaran saman hingga 31 Disember

 

“Bagi pesalah-pesalah lalu lintas yang telah disenarai hitam, mereka  dikehendaki hadir sendiri ke kaunter JPJ  bagi tujuan proses dokumentasi semula, sebelum menikmati diskaun saman yang diberikan,” menurut kenyataan itu.

 

JPJ menjelaskan kemudahan pembayaran saman itu melibatkan semua kaunter di pejabat JPJ di seluruh negara, Mobile JPJ dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan urusan transaksi bermula 8 pagi hingga 5 petang (termasuk hujung minggu).

 

Transaksi pembayaran juga boleh dilakukan secara dalam talian melalui portal mySIKAP JPJ (https://public.jpj.gov.my/). - DagangNews.com