Jual saham IJM Plantations waktu tepat untuk IJM, kata MIDF | DagangNews Skip to main content

Jual saham IJM Plantations waktu tepat untuk IJM, kata MIDF

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 9 Jun - Spekulasi bahawa IJM Plantations Berhad (IJMP) bakal menjual kepentingannya kepada Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) dilihat tepat pada waktunya, dengan memanfaatkan kitaran harga minyak sawit mentah (MSM) yang sedang meningkat. 

 

Malah, bagi penganalisis di MIDF Research, Khoo Zhen Ye, langkah berkenaan mendatangkan peluang keemasan buat syarikat induk IJMP, IJM Corporation Berhad (IJM) untuk mengukuhkan kunci kira-kira kumpulan selain melonjakkan simpanannya. 

 

“Ini membolehkan kumpulan untuk menjadi pembida yang lebih bersaing dalam projek pembinaan dan infrastruktur yang lebih besar memandangkan model Inisiatif Pembiayaan Persendirian (PFI) amat diteroka oleh kerajaan Malaysia pada masa akan datang, di mana kontraktor diharapkan mempunyai kunci kira-kira yang kukuh. 

 

“Sebagai contoh, kumpulan dapat meningkatkan penggearan bersihnya dengan ketara kepada kira-kira 0.31x daripada 0.44x, dengan andaian hasil daripada keseluruhan jualan itu diperuntukkan bagi mengurangkan hutang,” jelas Zhen Ye dalam satu nota kajian hari ini.

 

Spekulasi berhubung pelupusan kepentingan itu mula muncul apabila saham IJM, IJMP dan KLK digantung semalam, sementara menunggu satu pengumuman dibuat berhubung potensi cadangan korporat.

 

Menerusi laporan media, pengambilalihan kepentingan itu berkemungkinan dilaksanakan menerusi tunai atau pertukaran saham dengan harga antara RM2.50 hingga RM2.70 sesaham. 

 

Tambah Zhen Ye, ini menunjukkan potensi pelupusan sebanyak 56.2% kepentingan kumpulan dalam IJMP kepada KLK.

 

Walaupun andaian harga sesaham itu belum lagi muktamad, namun Zhen Ye melihat nilainya adil apabila penilaian oleh firma penyelidikan sebanyak RM2.62 jatuh dalam julat harga spekulasi berkenaan. 

 

“Kami menjangkakan kumpulan berpotensi mengaut hasil jualan kira-kira RM1.3 bilion, dengan jangkaan pelupusan kepentingan dalam IJMP dilaksanakan sepenuhnya dengan tunai, yang mungkin menjadi kaedah penyelesaian bagi tujuan itu, menurut pandangan kami,” tambah beliau.

 

Firma penyelidikan itu percaya pelupusan sepenuhnya segmen perladangan IJM akan mendatangkan prospek perolehan yang lebih stabil buat kumpulan bagi tempoh jangka panjang. 

 

Sebagai rekod, IJMP telah mencatatkan kerugian pada tahun kewangan 2019 (FY19) dan FY20, dengan sumbangan hasil kira-kira antara 11% hingga 12% daripada jumlah hasil kumpulan. 

 

Menerusi satu nota kajian berlainan oleh MIDF, KLK dan IJMP ketika ini masing-masing mencatatkan permodalan pasaran bernilai RM23.5 bilion dan RM2.1 bilion. 

 

Berdasarkan penilaian harga pelupusan pada kadar RM2.62 sesaham, ini seterusnya akan mendatangkan permodalan pasaran sebanyak RM2.3 bilion buat IJMP.

 

Maka, penggabungan kedua-duanya dijangka mendatangkan jumlah permodalan pasaran sebanyak RM25.8 bilion, seterusnya bakal meletakkan KLK sebagai pemain utama dalam industri perladangan seiring Sime Darby Plantation Berhad dan IOI Corporation Berhad.

 

Ketika laporan ditulis, IJM, IJMP mahupun KLK belum lagi mengeluarkan sebarang pengumuman di Bursa Malaysia. - DagangNews.com