Jualan cecah RM60,000 sebulan selepas dibantu melalui pinjaman AIM | DagangNews Skip to main content

Jualan cecah RM60,000 sebulan selepas dibantu melalui pinjaman AIM

Norhayati Ahmad menjalankan perniagaan hardware sejak 2007 di Kampung Merbau Kudung, Sik, Kedah.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

SIK 2 Nov - Siapa sangka, selepas lebih 20 tahun dalam dunia perniagaan, seorang Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) kini mampu memperoleh jualan kira-kira RM60,000 sebulan dengan pendapatan bersih kira-kira RM15,000 sebulan.

 

Menceritakan tentang pembabitan awal dalam dunia perniagaan, Norhayati Ahmad, 46, dia terpaksa menempuh kesusahan jatuh dan bangun dalam bidang itu.

 

Dia pernah makan mi segera untuk mengalas perut, yang merupakan antara perjalanan hidup yang terpaksa dilaluinya sewaktu mula menjalankan perniagaan pada awal 1998.

 

Bukan itu sahaja, ibu kepada enam anak itu dan suaminya, Ahmad Hussain, 50, hanya mampu membeli sekilogram beras dan lima biji telur untuk dimakan bersama dua anak mereka. 

 

Beberapa tahun selepas itu, hidup mereka sekeluarga bagaimanapun beransur-ansur berubah menjadi lebih baik selepas membuat pinjaman daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) pada 2003. 

 

"Saya mula membuat pinjaman menerusi Skim Mesra sebanyak RM3,000 untuk kelangsungan perniagaan perkhidmatan percetakan, selepas itu perniagaan saya mula stabil, bagaimanapun pada 2004, kedai yang disewa di Pekan Batu Lima, di sini terpaksa dirobohkan bagi memberi laluan kepada projek naik taraf jalan raya. 

 

"Kerajaan beri pampasan kepada kami sebanyak RM20,000. Pada 2005 saya dan suami membuat keputusan untuk menjalankan perniagaan menjual tiang roman yang dibuat sendiri. 

 

 

AIM

 

 

"Alhamdulillah jualan ketika itu sangat baik dan pelanggan ketika itu mula bertanya kenapa kami tidak jual pasir, kayu, simen dan barang 'hardware' lain, jadi pada 2007 kami mula mengumpul modal dan menambah barang hardware bagi memenuhi permintaan pelanggan. 

 

"Saya kemudian dibenarkan membuat pinjaman AIM sehingga RM30,000 bagi mengembangkan perniagaan.

 

 

AIM

 

 

“Saya bersyukur kerana pegawai-pegawai AIM sangat mempercayai dan memudahkan urusan saya," katanya ketika ditemui di kedainya di Kampung Merbau Kudung, di sini. 

 

Menurut Norhayati atau lebih dikenali sebagai Kak Ti, dua tahun lalu dia berjaya membuka kedai runcit bersebelahan kedai hardware miliknya dan turut menjual pelbagai makanan sejuk beku.

 

"Apabila berniaga di kampung, tidak dinafikan ramai yang akan berhutang ketika membeli barang, ada yang bayar selepas beberapa hari dan ada juga yang datang bayar selepas beberapa tahun namun terdapat juga pelanggan yang langsung tak bayar.

 

 

AIM

 

 

AIM

 

 

"Dalam keadaan ini saya masih perlu buat pinjaman daripada AIM untuk pusingan modal. Sepanjang 20 tahun ini saya sudah pinjam keseluruhan kira-kira RM100,000 untuk kelangsungan perniagaan saya, Alhamdulillah saya gunakan wang pinjaman itu sebaik mungkin. 

 

"Terima kasih saya ucapkan kepada AIM kerana mempercayai saya untuk memberi pinjaman, melalui AIM saya dapat kembangkan perniagaan sehingga ke tahap ini, sekarang sayalah yang menguruskan perniagaan hardware manakala suami saya sudah mempunyai perniagaanya sendiri sebagai kontraktor," katanya. - DagangNews.com