Jualan diesel turun 6.5 juta liter sehari sejak penyasaran subsidi diperkenal - Amir Hamzah | DagangNews Skip to main content

Jualan diesel turun 6.5 juta liter sehari sejak penyasaran subsidi diperkenal - Amir Hamzah

Jualan diesel di stesen minyak di Semenanjung Malaysia berkurang 23% pada awal Julai 2024 berbanding bulan sebelumnya, kata MOF. -Gambar hiasan
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 23 Julai - Jualan diesel dari stesen minyak Semenanjung Malaysia mencatatkan pengurangan sebanyak 6.5 juta liter sehari atau 23% sejak penyasaran semula subsidi diesel dilaksanakan bermula 10 Jun 2024.

 

Menteri Kewangan Kedua, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pada awal Jun 2024, purata jualan harian diesel dari stesen minyak  Semenanjung Malaysia adalah 28.6 juta liter sehari, manakala awal Julai 2024, purata jualan harian diesel tersebut telah turun kepada 22.2 juta liter sehari. 

 

"Ini merupakan pengurangan 6.5 juta liter sehari atau pengurangan 23% jualan diesel dari stesen minyak Semenanjung Malaysia. Dapat disimpulkan bahawa sebelum penyasaran semula subsidi, sekurang-kurangnya 6.5 juta liter sehari telah disalahguna sama ada oleh industri atau diseludup ke negara jiran.

 

 

"Kesimpulan ini disokong dengan data yang menunjukkan jualan diesel secara komersial telah meningkat sebanyak 4.8 juta liter sehari bagi tempoh perbandingan yang sama. 

 

"Memandangkan kini harga di stesen minyak adalah pada RM3.35 seliter, pihak industri yang sebelum ini membeli diesel bersubsidi telah beralih balik kepada membeli diesel secara komersial," katanya pada sesi soal jawab di Sidang Dewan Negara hari ini.

 

amir
AMIR HAMZAH AZIZAN

 

Tiga Ahli Dewan Negara bertanyakan sejauh manakah keberkesanan Program Bantuan Subsidi Madani atau Budi Madani kepada pemilik kenderaan diesel persendirian bagi individu, petani kecil dan pekebun kecil komoditi.

 

Menurut Amir Hamzah, pada masa yang sama, terdapat stesen minyak di kawasan utara berdekatan dengan sempadan yang mengalami kejatuhan jualan diesel sehingga 40% hingga 50%. 

 

Katanya, keadaan ini memaparkan kejatuhan aktiviti penyeludupan ke negara jiran disebabkan pengurangan margin keuntungan penyeludup.

 

"Untuk makluman Yang Berhormat juga, untuk dua bulan pertama pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel terutamanya melibatkan BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi, Kerajaan juga telah menyalurkan hampir RM50 juta kepada hampir 120,000 penerima yang layak bagi menampung kesan kenaikan harga diesel," jelasnya.

 

Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Dr Azhar Ahmad, Amir Hamzah berkata, kerajaan telah menyediakan bantuan tunai RM200 sebulan bagi petani kecil dan pekebun kecil yang ditakrifkan menghasilkan jualan pertanian di antara RM50,000 dan RM300,000 setahun.

 

Berdasarkan bantuan tersebut, katanya, petani kecil dan pekebun kecil yang memenuhi syarat kelayakan dan berdaftar dengan portal GeoAgro Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan agensi di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), layak memohon untuk bantuan tunai RM200 sebulan. 

 

Jelas beliau, pada masa yang sama, petani kecil dan pekebun kecil yang layak, turut dapat memanfaatkan bantuan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 (SKDS 2.0) bagi kenderaan logistik supaya kos pengangkutan pengeluaran ke pasaran tidak meningkat.

 

"KPKM dan KPK juga sedang giat mengadakan sesi libat urus dan turun padang bersama sama dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi membolehkan pendaftaran para petani dan pekebun dapat dibuat secara langsung. 

 

"Setakat ini sebanyak lebih 100 sesi telah diadakan oleh KPKM dan KPK serta jabatan dan agensi di pelbagai lokasi seluruh negara.

 

"Kerajaan akan sentiasa memantau situasi semasa termasuk pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel dan sekiranya perlu, penambahbaikan dari semasa ke semasa akan dibuat dalam memastikan golongan yang benar-benar layak terus mendapat perhatian Kerajaan dalam mendepani cabaran kos sara hidup," ujarnya. - DagangNews.com